Ketengahkan Dr Mujahid dalam Kabinet, perkukuh keyakinan rakyat menjelang PRU16

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan keperluan mendesak untuk parti itu memperkukuh persepsi sebagai sebuah parti yang mempertahankan dan memperjuangkan Islam, selaras dengan kenyataan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kenyataan Mohamad bahawa AMANAH mesti dilihat sebagai sebuah parti yang mempertahankan Islam wajar dialu-alukan dan disokong oleh seluruh ahli.

Namun persoalan yang timbul, katanya, ialah sama ada AMANAH telah mengambil langkah-langkah yang mencukupi dan berkesan ke arah merealisasikan aspirasi tersebut.

Pengarah Biro Antarabangsa AMANAH itu berkata, persepsi memainkan peranan amat penting dalam politik, khususnya dalam usaha menarik sokongan pengundi Islam.

Justeru, beliau berpandangan AMANAH perlu menampilkan lebih ramai tokoh agamawan dari parti itu dalam kepimpinan kerajaan bagi mengukuhkan keyakinan rakyat.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkenaan turut menyorot kedudukan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang berlatarbelakangkan pendidikan agama tinggi serta berpengalaman sebagai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Sebagai mantan Menteri Agama dan Timbalan Presiden AMANAH, Dr Mujahid sepatutnya diketengahkan semula dalam Kabinet, apatah lagi apabila Naib-Naib Presiden AMANAH lain kini telah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri,” katanya.

Agenda Islam

Menurut Raja Bahrin, ramai dalam kalangan ahli dan penyokong parti mengharapkan Dr Mujahid diberikan peranan sewajarnya dalam Kabinet bagi memperjuangkan agenda Islam untuk negara dan juga memperkukuh kedudukan AMANAH dalam kalangan pengundi Muslim.

Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan realiti politik di negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, di mana isu agama dilihat lebih dominan berbanding isu-isu lain, termasuk masalah bekalan air yang berpanjangan.

“Seperti yang dinyatakan oleh Presiden AMANAH sendiri, isu agama amat penting di negeri-negeri tersebut.

“Dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang semakin hampir, sudah tiba masanya Amanah berusaha memastikan Dr Mujahid diberikan jawatan yang setimpal dalam Kerajaan,” tegasnya.

Dalam masa sama, Raja Bahrin mengingatkan kenyataan Ketua Pemuda AMANAH Nasional baru-baru ini yang mengakui pencapaian undi parti itu berada pada tahap yang amat rendah, sekali gus memerlukan tindakan segera dan positif bagi memperbaiki kedudukan parti.

Tambahnya, AMANAH sebenarnya memiliki tokoh agama kanan yang berwibawa dan berupaya mengangkat imej parti serta Pakatan Harapan dalam kalangan pengundi Islam.

“Persepsi bahawa AMANAH memperjuangkan Islam amat penting dan mesti diperkukuh, khususnya menjelang PRU16,” tegas beliau lagi.

BACA JUGA Ramasamy tuduh PM ghairah cari sokongan ‘masyarakat majoriti’, ramai tinggalkan emoji ketawa