Berapa lama tempoh bekalan air di Lembah Klang dijangka mencukupi?
Musim panas dan kering sepanjang Monsun Barat Daya (MBD) pada masa ini tidak menjejaskan bekalan air kepada penduduk Lembah Klang yang kekal mencukupi sehingga tempoh sembilan bulan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, ini merangkumi keupayaan tujuh empangan di negeri dengan Empangan Sungai Semenyih mempunyai kapasiti 100 peratus manakala empangan lain mempunyai takungan melebihi 74 peratus.
Menurutnya, keupayaan dan jangka hayat takungan empangan-empangan terbabit adalah sehingga enam bulan ke paras kritikal tertakluk kepada jumlah pelepasan air berdasarkan keperluan Loji Rawatan Air (LRA).
“Kolam-kolam dijenamakan sebagai Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) yang melibatkan lebih dari 140 buah kolam dan beberapa bekas lombong yang telah diklusterkan mengikut lembangan sungai dapat dioptimumkan dengan keupayaan bekalan semasa sehingga tiga bulan.
“Secara keseluruhannya, kesediaan sumber air negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi MBD,” katanya dalam kenyataan semalam.
Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah berkata, Lembangan Sungai Selangor dan beberapa kawasan takungan ketika ini telah dilengkapi fasiliti pam bagi penyaluran sumber air alternatif.
Beliau berkata, fasiliti tersebut mempunyai kapasiti aliran maksimum sebanyak 3,840 juta liter sehari (JLH) menerusi pembangunan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) Pakej A dan B.
Jelasnya, Sungai Semenyih pula dengan fasiliti pam berkapasiti sebanyak 770 JLH maksima hasil dari pembangunan SJAM Pakej D.
“Kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut mengoptimumkan penggunaan air bumi sebagai sumber alternatif, khususnya bagi sektor industri melalui pelesenan dan caj abstraksi sumber air.
“Langkah ini bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan air terawat ketika musim kering. Setakat ini, tiga telaga air bumi telah dibina di Hulu Selangor untuk kegunaan khususnya semasa musim kering,” kata Izham lagi.
BACA JUGA Isu ladang FGV Terengganu hampir selesai, tuduhan ‘haram’ dan rompak terbukti tidak berasas