Hutang kos guaman Jamal Yunos apa jadi?
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menangguhkan lelong yang dijadualkan esok di rumah ketua bahagian Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos ekoran permohonan saat akhir yang dibuat oleh anak beliau.
Lelong tersebut sepatutnya berlangsung esok untuk menjual 14 barang yang dirampas pada 28 Jan dalam usaha mendapatkan RM66,061.85.
Jumlah tersebut baki tertunggak kos guaman yang masih belum dibayar oleh Jamal kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.
Menurut peguam Kok, Sankara Nair, penangguhan dibuat ekoran permohonan penangguhan dan interplider.
Permohonan interplider ialah proses undang-undang yang mempertikaikan hak milik barang rampasan.
Sankara berkata Jamal telah mendakwa bahawa barang rampasan bukan miliknya, sebaliknya ia adalah milik anaknya.
Jumlah RM66,061.85 ini terhasil ekoran saman fitnah Kok terhadap Jamal pada Apr 2017.
Jamal telah mendakwa Kok menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor untuk kepentingan peribadi.
Lima tahun kemudian, Mahkamah Tinggi memutuskan Jamal perlu membayar ganti rugi RM300,000 dan kos guaman RM50,000.
BACA JUGA: Akibat tak bayar baki tertunggak ganti rugi fitnah, ini nasib Datuk Seri Jamal Yunos