Perbandingan 6 negeri, kutipan hasil vs gaji menteri besar

Setiap kerajaan negeri mempunyai keupayaan kewangan dan  kaedah pentadbiran yang berbeza, bergantung kepada hasil yang dijana serta cara perbelanjaan diuruskan.

ISLAH membuat perbandingan pentadbiran enam negeri membabitkan jumlah populasi, jumlah penjawat awam, hasil, perbelanjaan mengurus, bonus penjawat awam, dan gaji Menteri Besar/ Ketua Menteri.

Data dikumpul membabitkan negeri Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Sabah, Kedah dan Terengganu. Ia menunjukkan perbezaan ketara antara negeri berpendapatan tinggi dan negeri yang masih bergantung kepada perbelanjaan besar melebihi hasil.

Sabah merekodkan kutipan tertinggi iaitu RM6.43 bilion dengan perbelanjaan mengurus sekitar RM5.20 bilion dengan jumlah penjawat awam sebanyak 18,853. 

Sabah memberikan bonus sebulan, manakala Ketua Menteri menerima gaji bulanan RM33,033, tertinggi antara negeri yang dibandingkan.

Selangor pula mencatat hasil RM2.8 bilion dengan 22,689 penjawat awam dan menawarkan bonus tiga bulan kepada kakitangan. 

Gaji Menteri Besarnya ditetapkan RM25,000 sebulan, menjadikan negeri itu antara yang dilihat lebih seimbang dari segi hasil, perbelanjaan dan kebajikan penjawat awam.

Johor merekodkan hasil RM2.6 bilion dengan perbelanjaan RM2.54 bilion serta kira-kira 17,000 penjawat awam. 

Penjawat awam menerima bonus dua bulan, manakala gaji Menteri Besar ialah RM15,000 sebulan.

Negeri Sembilan mencatat hasil RM610 juta dan perbelanjaan RM490 juta dengan sekitar 6,000 penjawat awam. 

Negeri itu menawarkan bonus tiga bulan dan gaji bulanan ketua negeri sebanyak RM19,000.

Sebaliknya, Kedah dan Terengganu merekodkan antara prestasi hasil terendah.

Kedah mengutip sekitar RM838 juta namun perbelanjaan meningkat kepada RM937 juta dengan 5,000 penjawat awam. 

Bonus yang diberikan sebanyak RM2,000 manakala gaji Menteri Besar ialah RM22,000 sebulan.

Terengganu pula mencatat hasil paling kecil iaitu kira-kira RM289 juta tetapi menanggung perbelanjaan mengurus sehingga RM1.94 bilion dengan sekitar 14,000 penjawat awam. 

Kakitangan hanya menerima bonus RM500, sedangkan gaji ketua negeri mencecah RM30,000 sebulan.