Kalau gila kuasa AMANAH tak bagi dua kerusi kepada Muda – Khalid
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegur kenyataan Setiausaha UMNO Johor, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman yang melabel AMANAH negeri itu sebagai gila kuasa.
Khalid berkata, AMANAH bukan sebuah parti yang gila kuasa sebagaimana yang didakwa, tetapi sebaliknya sebuah parti yang sangat berpegang kepada prinsip muafakat dalam berkerjasama dan bergabung.
Bukti paling jelas adalah apabila AMANAH sanggup menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa dan Parlimen Muar kepada Muda untuk membolehkan kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan dalam pilihan raya yang lalu.
“Jika AMANAH sebuah parti yang gila kuasa, itu tidak akan dilakukan.
“Yang gila kuasa adalah yang tidak sanggup berunding dan berbincang demi menjamin kemantapan gabungan dan itu bukanlah pihak AMANAH,” jawabnya dalam satu kenyataan pagi ini.
Khalid berkata, sikap mementingkan parti sendiri, mengaburkan pandangan dan pertimbangan bukanlah cara AMANAH kerana baginya, berkongsi kuasa dalam bergabung adalah pilihan yang jelas lebih baik.
Justeru beliau menyeru ke arah kesepakatan dan kemantapan kerjasama melalui rundingan dan perbincangan.
Beliau percaya semua pihak mempunyai kekuatan dan semua pihak harus dihargai.
“AMANAH yakin inilah budaya politik Melayu sebenar yang mengutamakan perpaduan dan kesepakatan sambil budaya politik khianat dan fitnah, seperti budaya politik PN perlu dicampak jauh.
“Sebagai orang Melayu, kita berpegang kepada pepatah Melayu, “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.
“Sebagai orang Islam pula, kita wajib berpegang keapada ayat Allah surah Al- Imran 159 yang bermaksud:“dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (pemerintahan) dan kemudian setelah engkau berazam, maka bertawakallah kepada Allah..” ujarnya.
BACA JUGA Firdaus Wong tegur Annuar Musa isu rumah ibadat haramÂ