Hadi mengamuk kepada ahli Pas Perlis, serang Majlis Syura
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai mengamuk secara terbuka kepada ahli Pas di Perlis termasuk Mursyidul Am Pas yang kebetulan tinggal di Perlis ekoran krisis di negeri itu baru-baru ini.
Amukan itu dihamburkan melalui kenyataan “Minda Presiden Pas” yang disiarkan di facebook beliau hari ini.
Beliau berkata, “Majlis Syura ‘Ulamak tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi.” yang dipercayai ditujukan kepada Pengerusi Majlis Syura Ulamak yang digelar Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.
Sejak kebelakangan ini berlaku serang menyerang antara penyokong Hadi dan penyokong Mursyidul Am Pas, Hashim ekoran krisis yang berlaku di Perlis sehingga Pas kehilangan kuasa di negeri itu.
Menteri Besar Pas yang kebetulan besan kepada Hadi, Mohd Shukri Ramli telah meletakkan jawatan pada hujung Disember 2025. Ekoran itu, pemimpin Bersatu Perlis dilantik sebagai MB yang baharu menyebabkan Pas kehilangan kuasa di negeri itu walaupun sebelumnya mempunyai Adun yang lebih ramai.
Menurut Hadi, “PAS Pusat yang dipilih dan dilantik oleh Muktamar Tahunan PAS Pusat berkuasa bagi melaksanakan pentadbiran yang tertinggi dalam PAS yang tidak berlawanan dengan dasar dan hukum tertinggi, mengikut Fasal 39(1) dan Fasal 39(9) Perlembagaan PAS.
“Adapun pelaksanaan dasar hukum tertinggi PAS iaitu al-Quran dan as-Sunnah serta Ijmak ‘Ulamak dan Qias, dipertanggungjawabkan kepada Majlis Syura ‘Ulamak.
“Maka, Majlis Syura ‘Ulamak tiada kaitan dengan pentadbiran selagi tidak bercanggah dengan dasar tertinggi.
“Manakala, PAS Pusat diwajibkan mentadbir dan melantik jawatan-jawatan di semua peringkat dan di bawah pentadbirannya dan mengawasi Kerajaan Negeri.
“Termasuk jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri, Menteri Besar dan lain-lain yang wajib ditaati arahannya,” kata Hadi dalam tulisannya itu.
Kata Hadi, ketika krisis berlaku di Perlis, beberapa orang daripada PAS Pusat dihantar ke Perlis bagi melakukan tabayyun dan para pemimpin PAS Kawasan dijemput datang untuk mendengar pengaduan secara berdepan serta siasatan yang lain.
“Adapun tuduhan akhlak, tidak ada saksi yang adil dikemukakan, hanya cerita yang dicipta dan akhirnya diketahui puncanya.
“Adapun pertemuan dengan para pemimpin PAS Kawasan di Pejabat Agung mendedahkan sifatnya yang tidak memenuhi sifat-sifat ahli parti Islam yang bertarbiah.
“Secara tidak segan melahirkan tidak berpuas hati terhadap beberapa keputusan parti dan kepimpinan negeri, antaranya:
- Apabila sebilangan mereka menonjolkan diri masing-masing paling layak memegang jawatan tetapi tidak dilantik. Sifat yang disebut oleh Rasulullah SAW tidak layak diberi jawatan.
- Laporan berlakunya lobi-melobi yang tidak berakhlak dalam mesyuarat agung sebagai tindakan merosakkan dalaman PAS dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.
- Tidak memahami kelemahan peringkat Kerajaan baharu yang dapat diselesaikan mengikut proses pentadbiran yang dapat dibetulkan serta ada masalah bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terbatas.
- Tidak menghormati hak Pesuruhjaya dalam bertindak menyelesaikan masalah dan menentukan keputusan secara syura
- Tidak beristiqamah menghadapi tekanan pihak luar dan tidak mempertahankan perjuangan parti, sehingga melaksanakan langkah daripada luar jemaah yang bercanggah dengan perjuangan parti yang menentang salah laku dan penyelewengan yang mahu merosakkan Kerajaan Negeri.
- Berakhir dengan menyokong tindakan khianat menjatuhkan Kerajaan PAS sehingga diberi kepada pihak yang lain, kawan yang tidak bersetia kawan.
“Kesimpulannya bahawa kepercayaan kami kepada Pesuruhjaya PAS yang dilantik sangat tinggi. Apa yang berlaku ialah tidak wala’ kepada Parti dan tidak taat kepada pemimpin yang dilantik oleh Pimpinan PAS Pusat tanpa alasan yang sebenar,” kata beliau.
Sehubungan itu, beliau meminta semua ahli Pas “lakukan muhasabah diri sendiri dengan adil, betapa pentingnya untuk menjaga perpaduan dalam jemaah, memastikan pergerakan jemaah tidak terhenti dan musuh gagal mengambil kesempatan.
“Perjuangan harus tetap bergerak, kerana dalam jemaah adanya ramai ahli yang terus melaksanakan kewajipan tanpa memikirkan jawatan dan habuan, hanya ikhlas kerana Allah,” katanya.
BACA JUGA Kalau gila kuasa AMANAH tak bagi dua kerusi kepada Muda – Khalid