Malaysia melonjak ke tangga ke-54 CPI 2025, ini enam faktor penyumbang

Malaysia mencatatkan peningkatan memberangsangkan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 apabila berjaya melonjak ke kedudukan ke-54 dunia, berbanding tangga ke-57 pada 2024, sekali gus naik tiga anak tangga.

Menurut data dikongsikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), skor CPI Malaysia turut meningkat kepada 52 mata pada 2025.

Tahun sebelumnya, skor CPI Malaysia 50 mata, menandakan kemajuan dalam usaha memperkukuh tadbir urus, integriti dan ketelusan negara.

Peningkatan tersebut dilihat sebagai hasil pelbagai pembaharuan institusi serta langkah penguatkuasaan yang diperkenalkan kerajaan dan agensi berkaitan bagi membanteras rasuah secara berterusan.

Enam faktor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan kedudukan dan skor CPI Malaysia:

1) Pengenalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023 yang memperkukuh disiplin fiskal serta ketelusan pengurusan kewangan negara.

2) Pindaan Akta Audit 1957 bagi meningkatkan kecekapan dan kebebasan proses audit.

3) Ketelusan pemunyaan benefisial melalui pindaan Akta Syarikat 2024 yang menambah baik pengesanan pemilik sebenar syarikat.

4) Tindakan penguatkuasaan dan antirasuah berterusan.

5) Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi menggalakkan pelaporan salah laku tanpa rasa takut.

6) Cadangan undang-undang baharu berkaitan perolehan kerajaan yang bertujuan meningkatkan ketelusan dalam proses tender dan kontrak awam.

Peningkatan tersebut mencerminkan usaha berterusan negara dalam memperkukuh integriti sektor awam dan swasta, selain komitmen memperbaiki persepsi antarabangsa terhadap tahap rasuah di Malaysia.

Dalam masa sama, usaha pembaharuan perlu diteruskan secara konsisten bagi memastikan momentum peningkatan kekal dan Malaysia mampu mencapai kedudukan yang lebih baik dalam penilaian CPI pada masa hadapan.

Pihak berkuasa turut menggesa orang ramai terus memainkan peranan melaporkan sebarang salah laku rasuah bagi memastikan agenda memerangi rasuah dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

BACA JUGA Penduduk bekerja terus naik kepada 17.13 juta, kadar pengangguran kekal 2.9 peratus