Sinergi DBKL–MCPF realisasikan hab strategik pencegahan enayah di Cheras

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Pejabat MCPF Kuala Lumpur oleh Pengerusi MCPF, YB Datuk Seri Saifuddin dan Pelancaran Pusat Strategik Pencegahan Jenayah Komuniti MCPF Kuala Lumpur. Turut hadir YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak bersama Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri di Taman Ikan Emas, Cheras Kuala Lunpur. 11hb Februari 2026. (Gambar: Md Edi Armishah)

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri merangkap Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (Malaysian Crime Prevention Foundation – MCPF) hari ini merasmikan pejabat baharu MCPF Kuala Lumpur di Taman Ikan Emas, Cheras, sekali gus melancarkan Pusat Strategik Pencegahan Jenayah Komuniti MCPF Kuala Lumpur.

Majlis tersebut turut dihadiri YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak; YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun bin Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur; Yang Dihormati Datuk Fadil Marsus, Ketua Polis Kuala Lumpur; serta YBhg. Datuk Azman Haji Abidin, Pengerusi MCPF Kuala Lumpur. Perasmian pejabat ini merupakan hasil kerjasama erat antara MCPF dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Seri Saifuddin menekankan kepentingan MCPF terus berperanan sebagai platform kolaborasi strategik antara kerajaan, pihak berkuasa keselamatan, sektor swasta dan komuniti dalam usaha membendung jenayah secara lebih menyeluruh dan berkesan.

“Pencegahan jenayah bukan semata-mata tanggungjawab pasukan keselamatan, tetapi memerlukan penglibatan aktif masyarakat. Pendekatan berasaskan komuniti perlu diperkukuh melalui pendidikan, kesedaran dan jaringan kerjasama yang mantap,” katanya.

KUALA LUMPUR, 11 Februari 2026 – Pengerusi MCPF Kuala Lumpur merangkap Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, YBhg. Datuk Azman Haji Abidin menegaskan bahawa pembukaan Pejabat MCPF Kuala Lumpur dan pelancaran Pusat Strategik Pencegahan Jenayah Komuniti hari ini menjadi titik penting dalam memperkukuh gerakan pencegahan jenayah berasaskan komuniti di ibu negara.

Menurut beliau, pejabat baharu MCPF Kuala Lumpur yang direalisasikan hasil kerjasama erat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan berfungsi sebagai nadi pentadbiran, ruang diskusi strategik dan pusat pelaksanaan program komuniti yang inklusif, selaras dengan nilai kesejahteraan dalam kerangka Malaysia MADANI.

“Sempena ulang tahun ke-33 MCPF, kita mewujudkan Pusat Strategik Pencegahan Jenayah Komuniti yang berperanan dalam pembangunan modal insan, sinergi data bersama pihak berkuasa, serta menjadi pusat rujukan dan advokasi keselamatan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau menjelaskan pusat tersebut akan menjadi hab latihan kepimpinan pencegahan jenayah kepada ahli MCPF dan pemimpin komuniti, di samping menterjemah data keselamatan kepada strategi tindakan komuniti yang lebih tepat sasaran. Pengurusan pusat ini pula diselia oleh Setiausaha Negeri bagi memastikan akauntabiliti serta impak pelaksanaan yang berkesan di lapangan.

Dalam masa sama, Datuk Azman turut memaklumkan bahawa operasi pejabat ketika ini masih berada pada tahap asas dan memerlukan sokongan dari segi infrastruktur digital, kelengkapan latihan serta prasarana pejabat yang lebih kondusif bagi memperkasa gerak kerja MCPF Kuala Lumpur.

Mengulas pencapaian MCPF Kuala Lumpur, beliau berkata sepanjang tahun 2025, pihaknya berjaya melaksanakan 84 program pencegahan jenayah iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 430 program MCPF di seluruh negara. Program tersebut memfokuskan sekolah, sektor korporat dan komuniti akar umbi dengan sokongan barisan penceramah serta enam Jawatankuasa Perhubungan Daerah meliputi Cheras, Dang Wangi, Wangsa Maju, Brickfields, Sentul dan Putrajaya. “Pusat Strategik ini adalah platform untuk kita membina legasi pelapis yang mampu menggerakkan komuniti secara lebih profesional dan tersusun dalam agenda advokasi keselamatan,” ujarnya.