Menteri KUSKOP bawa syarikat Malaysia tembusi pasaran halal Arab Saudi

Syarikat-syarikat Malaysia dijangka memuktamadkan urus niaga hampir RM2 bilion bersama rakan niaga masing-masing di Mekah sempena Makkah Halal Forum 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Februari ini di Arab Saudi.

Nilai tersebut bukan sekadar angka simbolik, tetapi mencerminkan keyakinan pasaran Timur Tengah terhadap keupayaan jenama tempatan dalam ekosistem halal global.

Antara syarikat yang terlibat ialah Jaman Tory Group Sdn. Bhd., A&A Empire Sdn. Bhd. (Bokitta), Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. dan Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn. Bhd.

Penyertaan mereka kali ini bukan bersifat kosmetik atau sekadar membuka reruai pameran. Sebaliknya, ia disertai proses pemadanan perniagaan yang menyeluruh sehingga peringkat perjanjian dimeterai.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa pendekatan kali ini berbeza.

Melalui Bank Rakyat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan program bimbingan dan pengupayaan secara ‘hand holding’, memastikan syarikat bukan sahaja diperkenalkan kepada pasaran, tetapi dibantu dari segi rundingan, pembiayaan dan kesiapsiagaan eksport.

Ini mencerminkan peranan kerajaan sebagai pemudah cara yang aktif, bukan sekadar pemerhati.

Pasaran strategik

Arab Saudi yang menerima sekitar 30 juta pelawat antarabangsa setiap tahun dilihat sebagai pasaran strategik dan pintu masuk penting untuk memperkenalkan produk Malaysia kepada komuniti global.

Dalam konteks industri halal yang berkembang pesat, kehadiran di Mekah membawa nilai komersial dan simbolik yang besar.

Bank Rakyat turut menyediakan kemudahan pembiayaan bagi memperkukuh keupayaan kewangan syarikat terlibat untuk berkembang ke Timur Tengah.

Kelima-lima syarikat tersebut merupakan pelanggan sedia ada dalam ekosistem bank berkenaan dan dipilih berdasarkan tahap kesediaan eksport serta potensi pertumbuhan antarabangsa.

Menariknya, naratif kejayaan ini menangkis persepsi sempit bahawa sokongan kepada industri halal hanya bergantung pada latar belakang agama pemimpin.

Walaupun Menteri KUSKOP bukan beragama Islam, komitmen terhadap pembangunan syarikat tempatan dalam pasaran halal tetap menjadi keutamaan.

Ini memperlihatkan bahawa dasar ekonomi dan keusahawanan sepatutnya berpaksikan keupayaan dan strategi, bukan sentimen identiti.

Program rintis ini dijangka diteruskan bagi membimbing lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana menembusi pasaran domestik dan global, selari dengan Strategi ABCD yang diperkenalkan kementerian.

Jika momentum ini konsisten, RM2 bilion mungkin hanya permulaan.

BACA JUGA Kali ini nelayan Labuan pula terima bantuan LKIM