AMK mahu anak muda terajui naratif Selangor, rampas Undi 18 dan kerusi hilang
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Selangor menegaskan keperluan mendesak untuk memperkukuh peranan anak muda dalam struktur parti.
Ia khususnya dalam aspek komunikasi strategik dan pencalonan pilihan raya, bagi memastikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus kekal sebagai parti dominan di negeri berkenaan.
Ketuanya, Iman Haziq Mohammad Hamizi mengakui realiti pasca pilihan raya lalu menunjukan sokongan individu berusia 18 tahun (Undi 18) semakin merosot, terutamanya akibat kegagalan menguasai naratif serta sentimen politik di media sosial.
Menurutnya, landskap politik hari ini menuntut penguasaan maklumat dan persepsi yang lebih tersusun, agresif dan strategik.
“Maklumat adalah senjata utama politik masa kini. Kekalahan kita sebelum ini banyak berpunca daripada kegagalan mengawal naratif digital.
“Justeru, AMK mesti diberikan peranan utama dalam jentera komunikasi parti, khususnya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk mengisi kekosongan Pusat NADI,” katanya.

Penegasan itu dizahirkan beliau sempena Konvensyen Keadilan Selangor baru-baru ini.
Keyakinan pengundi muda
Iman Haziq berkata, anak muda memiliki kelebihan memahami dinamika media sosial dan mampu menggerakkan komunikasi politik secara lebih berkesan bagi menangkis serangan lawan serta mengembalikan keyakinan pengundi muda.
Dalam pada itu, AMK Selangor merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari atas kepercayaan melantik sebahagian besar pimpinan AMK sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam pemerkasaan anak muda.
Namun, beliau menegaskan bahawa kepercayaan tersebut tidak seharusnya terhenti pada lantikan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peluang dan keberanian mengangkat anak muda sebagai calon pilihan raya.
“AMK Selangor bersedia memikul amanah ini. Jika diberi peluang, kami berikrar untuk mengekalkan Kerajaan Negeri Selangor dengan majoriti dua pertiga serta merampas kembali kerusi-kerusi yang hilang, termasuk Taman Medan, Sungai Kandis, Gombak Setia dan kerusi bersejarah iaitu Hulu Kelang,” tegasnya.
Iman Haziq berkata, Selangor merupakan benteng utama reformasi dan kekuatan parti, justeru PKR perlu bergerak dengan mentaliti dominan serta bersifat ofensif, bukan defensif, walaupun berada dalam kedudukan sebagai kerajaan.
Selain itu, beliau memberi amaran jelas kepada parti-parti luar yang merasakan diri mereka sebagai ‘abang besar’ atau terlalu ‘keramat’.
“Di negeri lain mungkin ada ruang untuk berlagak sebagai abang besar, tetapi bukan di Selangor.
“Di sini, kita berpegang pada prinsip. Jika mahu berkawan, kita berkawan dengan ikhlas. Namun, jika mahu melawan, kita akan lawan habis-habisan,” tegasnya.
Tambahnya, AMK Selangor tidak akan berundur daripada sebarang cabaran yang menggugat parti dan perjuangan rakyat.
“Kalau berani pecah gelanggang, maka berani jugalah untuk ditentang. Lawan tetap lawan, lawan sampai menang,” kata Iman Haziq lagi.
BACA JUGA Pas hilang prinsip di Perlis, dari tuduh pengkhianat kini mohon jawatan