Kuil haram: Tamim arah peguam semak keputusan reman ke atas beliau
Para peguam Tamim Dahari dan rakan-rakannya akan memfailkan semakan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini juga bagi menyemak kembali keputusan Mahkamah Majistret yang membenarkan tambahan tahanan reman dua hari lagi ke atas mereka.
“Kami diarahkan oleh anak guam kami untuk memfailkan semakan ke Mahkamah Tinggi segera,” kata peguam Tamin di perkarangan mahkamah hari ini.
Mahkamah Majistret hari ini membenarkan Tamim ditahan reman dua hari lagi untuk proses siasatan walaupun polis meminta empat hari.
Tamim ditahan jam 10 semalam (11 Februari 2026) dan tempoh tahanan ini akan tamat selepas 48 jam jika kebenaran reman dari mahkamah tidak diperolehi.
Namun begitu Tamim tidak bersetuju kerana beliau mendakwa tidak wajar ditahan reman kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Tamim ditahan selepas membersihkan sebahagian kuil yang dibina secara haram di atas tanah milik Yayasan Kubra di Rawang Perdana, Selangor semalam 11 Februari 2026 dengan menggunakan jentera berat, jengkaut.
Antara pemimpin Yayasan Kubra adalah Ismail Mina, bekas rakan yang menjadi pengkritik utama Anwar Ibrahim. Beliau turut hadir ke mahkamah hari ini.
8 Februari lepas, Tamim, pengasas Tanahmalaya.com ditahan bersama beberapa yang lain selepas menyertai perhimpunan Anti Rumah Anutan Haram berhampiran pusat membeli belah Sogo.
Ini bermakna, Tamim kali kedua ditahan selepas kes di Sogo dan ulangi tindakan yang dianggap sama di Rawang.
Polis menyiasat beliau dan yang lain di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar tindakan diambil ke atas semua rumah ibadat yang dibina secara haram.
Malam tadi Anwar menjelaskan, tindakan ini perlu diambil oleh pigak berkuasa tempatan bukan oleh individu atau kumpulan tertentu.
Peringatan itu dibuat hanya dua hari selepas Anwar memaklumkan dia telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk “membersihkan” kuil yang didirikan tanpa kebenaran.
“Negara ini berdasarkan peraturan dan undang-undang, bukan kehendak individu.
“Walau sekuat mana perasaan anda, sama ada suka atau tidak suka, hormat atau tidak hormat kepercayaan orang lain, peraturan asas mesti dipatuhi.
“Oleh itu, saya ingin ingatkan rakan-rakan yang anda telah diberitahu supaya mematuhi peraturan ini dan anda mesti berpegang pada prinsip ini, dan anda sama sekali tiada hak untuk meletakkan undang-undang di tangan sendiri,” katanya semasa makan malam Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) malam tadi.
PENCEGAHAN
Menurut sumber, polis membuat siasatan dan mengambil tindakan berkaitan kes ini ekoran ketegangan ekoran isu kuil haram selepas perhimpunan di Sogo dan kini perobohan kuil di Rawang.
Polis juga dikatakan berpendapat, tindakan perobohan dan memusnahkan sebahagian kuil pada waktu malam (kira-kira jam 12 malam) menunjukkan niat terselindung individu terlibat.
Polis juga telah mengadakan perjumpaan bertujuan mendapatkan maklumat lanjut serta meredakan situasi yang dilihat hangat dan mampu mengganggu gugat keharmonian kaum dan sensitiviti agama di negara ini khususnya selepas tercetusnya isu ’Kuil Haram’ baru – baru ini.
“Pihak IPD GOMBAK menegaskan tindakan yang dilakukan oleh Tamim Dahari bersama dua orang penama lagi adalah tanpa sebarang pemakluman awal mahupun notis yang sah adalah satu tindakan ’tercemar’ serta mampu mengganggu gugat khususnya terhadap keharmonian masyarakat majmuk dan institusi keagamaan (rumah ibadat),” kata sumber itu.
BACA JUGA Menteri KUSKOP bawa syarikat Malaysia tembusi pasaran halal Arab Saudi