Akhirnya ladang babi di Selangor akan ditutup, tiada lagi lesen ternak babi

Tiada lagi pemberian lesen penternakan babi di Selangor, manakala penutupan ladang sedia ada akan dipercepatkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan itu diputuskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung isu yang memberikan kesan kepada rakyat pada ketika ini.

“Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda menzahirkan tidak memperkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

“Sejak Januari lalu, kerajaan negeri sudah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat, Kuala Langat sebagaimana titah Sultan Selangor yang dizahirkan pada bulan lalu.

“Dalam menjunjung kasih titah terbaharu Tuanku, kerajaan Negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ladang penternakan sedia ada, jelas Amirudin, akan ditutup secara berperingkat dengan kadar lebih pantas, menerusi penyelarasan rapi bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor.

Katanya, pada masa ini, 70 peratus daripada keperluan masyarakat bukan Islam bagi daging babi bersumberkan import dari negeri-negeri lain.

Selepas keputusan MMKN, ujarnya, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit.

Pemberian lesen

Amirudin berkata, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.

Keputusan tersebut, katanya, diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan ini kepada alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau.

“Dengan keputusan ini, sebarang polemik berkaitan isu babi harus dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian dan menimbulkan perasaan syak wasangka di antara masyarakat negeri Selangor yang berbilang kaum dan agama,” tambahnya lagi.

Isu penternakan babi di Selangor telah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan sering menjadi perhatian awam, khususnya melibatkan kawasan Tanjong Sepat di Kuala Langat yang menempatkan sejumlah ladang penternakan berskala besar.

Operasi penternakan di kawasan tersebut sebelum ini dikaitkan dengan pelbagai aduan penduduk setempat, termasuk isu pencemaran bau, pengurusan sisa serta kesan terhadap alam sekitar dan kesejahteraan komuniti sekitar.

Susulan itu, beberapa langkah kawal selia telah dilaksanakan termasuk mengehadkan bilangan ladang, memperketat syarat lesen serta mewajibkan pematuhan terhadap piawaian kesihatan dan alam sekitar yang lebih ketat.

Namun, polemik berhubung kelangsungan industri penternakan babi di Selangor terus berbangkit, terutama apabila timbul kebimbangan mengenai kesan jangka panjang terhadap guna tanah, perancangan bandar dan sensitiviti masyarakat majmuk.

BACA JUGA AMK mahu anak muda terajui naratif Selangor, rampas Undi 18 dan kerusi hilang