Dr Akmal mahu keluar sekejap dari Umno?
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh diyakini mahu keluar dari Umno apabila membuat kenyataan tidak mahu menjadi calon jika BN Melaka bekerjasama dengan PH dalam pilihan raya negeri Melaka nanti.
Bekas penyokong Dr Akmal dari Kelantan, Wan Mahusin Wan Zain (gambar bawah) berkata, kenyataan Akmal dalam sessi Keluar Sekejap seolah-olah membayangkan “Dr Akmal mahu keluar sekejap” dari Umno.

Pilihan raya negeri Melaka dijadualkan berlangsung hujung tahun ini selepas tempohnya cukup lima tahun selepas PRN negeri diadakan sebelum ini.
Dalam siaran yang dihoskan oleh bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin itu, Akmal berkata, “Saya cakap jujur jika bersama PH, saya tak nak bertanding.”
Ekoran itu, Wan Mahusin, Ketua Penerangan Pemuda Umno Jeli itu berkata, beliau kesal dengan kenyataan Akmal itu.
“Saya rasa tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan dalam podcast Keluar Sekejap. Dr Akmal tidak akan jadi calun sekiranya BN bersama dengan PH.
“Makna kata Dr Akmal meletakkan masa depan parti berdasarkan pandangan pribadi atau kenyataan Dr Akmal bukan pandangan parti.
“Maknanya parti kena ikut Dr Akmal, bukan Dr Akmal ikut parti.
“Jadi Presiden Umno sekarang ini tidak boleh membuat keputusan jika tidak selari dengan keputusan Ketua Pemuda!” bidas Wan Mahussin menerusi satu klip video beliau.
Sikap dan pandangan Dr Akmal menjadi duri dalam daging Umno apabila beliau sentiasa melontarkan pandangan yang berbeza dengan pimpinan Umno.
Namun sehingga kini Umno dilihat tidak bertindak tegas dalam mengawal disiplin pemimpin dan ahlinya walaupun bercanggah dengan mereka sehingga mengharubirukan parti itu.
Dalam kes pilihan raya negeri Melaka, beliau mahu Umno bekerjasama dengan Pas bukannya dengan PH, rakan kerjasama Umno dan BN sekarang.
“Jika itu sikap Dr Akmal, dia layak jadi calon Pas,” kata Wan Mahussin yang juga memberitahu Akmal sebelum ini banyak turun ke negeri untuk melobi agar calon pemuda dipilih untuk mewakili Umno dalam beberapa pilihan raya negeri.
Oleh itu, Wan Mahussin berpandangan Dr Akmal akan keluar sekejap dari Umno sebagaimana nama podcast tempat beliau meluahkan perasaan itu.
BACA JUGA Apabila Cikgu Pa tidak lagi di sisi Ayoh Chik