Penangan SARA…nugget, sosej ‘licin’ sampai kosong peti sejuk
Kerajaan pada awal Februari lalu mengumumkan kategori barangan yang boleh dibeli rakyat dengan menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluaskan melibatkan makanan sejuk beku.
Meskipun wujud segelintir pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan, namun pengumuman itu disambut baik oleh rakyat Malaysia seperti situasi yang kini dapat dilihat di pasar raya tempatan.
Tular satu video yang dikongsikan oleh seorang pengunjung pasar raya memaparkan situasi peti sejuk beku sudah ‘licin’ tanpa barang tersisa dipercayai sudah beli pelanggan lain.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform TikTok itu, pengunjung berkenaan percaya bahawa barangan sejuk beku termasuk sosej, nuget dan bebola daging mungkin sudah habis dibeli pelanggan menggunakan SARA.
“Licin,” katanya dalam ruangan kapsyen video berdurasi lima saat itu bersama tanda pagar #sumbanganasasrahmah2026 yang kini sudah berjaya meraih sebanyak 211,300 tontonan daripada pengguna TikTok.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok mengakui bahawa barangan sejuk beku sememangnya menjadi antara pilihan popular dalam kalangan penerima SARA kali ini.
Mereka juga memberitahu bahawa penambahan kategori tersebut sememangnya menguntungkan rakyat kerana barangan sejuk beku terutamanya yogurt tidak mampu dibeli sebelum ini kerana harganya agak mahal.
BACA JUGA Akhirnya ladang babi di Selangor akan ditutup, tiada lagi lesen ternak babi