AMANAH tangguh pemilihan, komited angkat sosioekonomi Melayu

Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung tahun ini bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat JKP Nasional yang berlangsung malam tadi dengan mengambil kira kemungkinan PRN di beberapa negeri termasuk Melaka, Johor dan Sarawak.

Beliau berkata, penangguhan tersebut diputuskan mengikut Perkara 19.2 (j) Perlembagaan AMANAH yang memberi kuasa kepada JKP Nasional untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga tempoh maksimum 18 bulan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Faiz memaklumkan bahawa pemilihan parti akan diadakan sebaik sahaja urusan PRU dan PRN selesai tanpa menunggu tempoh penuh penangguhan 18 bulan tersebut.

Untuk rekod, penggal Parlimen ke-15 akan berakhir Disember 2027.

Penggal pentadbiran di Melaka pula akan berakhir pada Disember 2026, manakala di Johor pula pada April 2027.

Pemerhati politik berpendapat jika ketiga-tiga pilihan raya mahu disekalikan, PRU16 perlu diadakan setahun lebih awal iaitu Disember 2026.

Kerajaan juga dikatakan mampu menjimatkan hingga RM200 juta jika PRN Melaka dan Johor diadakan serentak dengan PRU16.

Dalam masa sama, Faiz memaklumkan, JKP Nasional mengarahkan AMANAH di peringkat Negeri dan Kawasan untuk segera menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing bagi mengukuhkan kesiapsiagaan AMANAH berhadapan PRU dan PRN.

Ia termasuk jelasnya, mengadakan temu rapat pimpinan utama AMANAH dengan jentera di peringkat akar umbi mengikut zon yang akan ditetapkan tarikhnya kelak bermula di Melaka dan Johor.

Memartabatkan Melayu Islam

Sebagai komponen dalam Kerajaan Perpaduan, Faiz berkata, AMANAH turut menegaskan komitmen untuk memartabatkan kedudukan Melayu melalui dasar-dasar yang mampu meningkatkan sosioekonomi masyarakat tersebut.

Jelasnya, AMANAH turut berhasrat untuk memandu perubahan pemikiran masyarakat Melayu agar menolak sentimen kononnya Melayu terpinggir dan Islam terancam yang sering dimainkan pihak pembangkang.

Beliau menegaskan AMANAH juga bertekad membawa naratif pemikiran baharu yang lebih rasional, progresif dan sederhana dalam wacana politik negara.

Sehubungan itu, JKP Nasional bersetuju agar parti berkenaan memainkan peranan lebih aktif dalam menggerakkan perubahan tersebut menjelang pilihan raya akan datang.

AMANAH yang ditubuhkan secara rasmi pada 16 September 2015 iaitu kira-kira tujuh bulan selepas pemergian Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, merupakan kesinambungan semangat Islam progresif dalam Pas.

Pendekatan AMANAH dilihat lebih terbuka kepada kerjasama pelbagai kaum dan parti, serta penekanan kepada demokrasi dan dasar kebajikan rakyat.

BACA JUGA Isu rumah ibadat: MKN Selangor tetap garis panduan, nasihat tidak bertindak sendiri