BNP menang besar pilihan raya, undian pertama Bangladesh selepas aksi protes Gen Z

Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menang besar dalam pilihan raya Parlimen semalam yang merupakan undian pertama negara itu sejak aksi protes Generasi Z pada 2024 yang menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.

Gabungan yang dikuasai BNP pimpinan Tarique Rahman, 60, memperoleh majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat sekali gus memperoleh mandat kukuh di negara berpenduduk majoriti Islam seramai 175 juta orang itu.

Lapor Al-Jazeera memetik penyiar Jamuna TV, BNP dan sekutunya dalam keputusan tidak rasmi memenangi 211 daripada 299 kerusi kawasan pilihan raya, manakala blok pesaing Jamaat-e-Islami hanya memperoleh 70 kerusi.

Tarique Rahman

Media tempatan melaporkan kemenangan tokoh-tokoh BNP, antaranya Salahuddin Ahmed yang merupakan pemimpin kanan BNP dan bekas menteri.

Salahuddin dipilih dari Cox’s Bazar-1 di tenggara Bangladesh dengan 220,566 undi, menewaskan pencabar terdekat yang memperoleh 124,726 undi.

Sementara itu, bekas Menteri Perdagangan, Amir Khasru Mahmud Chowdhury dari Chattogram-11 di tenggara menang dengan 115,021 undi, mendahului pencabar terdekat yang meraih 73,752 undi.

Bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Lutfozzaman Babar pula memenangi Netrokona-4 di utara-tengah Bangladesh dengan majoriti 119,824 undi.

Parlimen Bangladesh terdiri daripada 350 ahli, dengan 300 dipilih secara langsung dari kawasan satu ahli, manakala 50 kerusi tambahan dikhaskan untuk wanita.

Satu referendum turut diadakan mengenai reformasi politik, termasuk had tempoh jawatan perdana menteri, pengukuhan semak dan imbang terhadap kuasa eksekutif serta langkah-langkah lain bagi mencegah pemusatan kuasa Parlimen.

BACA JUGA Isu rumah ibadat: Jemaah Menteri diberi penjelasan hari ini