Kunjungan MB Kelantan tarik perhatian, PM Anwar dilihat jayakan prinsip Tuan Guru Nik Aziz

Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dalam satu pertemuan mesra yang mencuri perhatian orang ramai.

Rata-rata menyambut baik pendekatan Perdana Menteri yang dilihat selari dengan prinsip politik sederhana serta kerjasama antara kerajaan yang sering ditekankan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.

PM Anwar menerima kunjungan hormat daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Perdana Putra, Putrajaya semalam.

Terdahulu, Anwar berkongsikan beberapa foto pertemuan beliau dengan Nassuruddin yang sering digelar ‘Singa Pas Kelantan’ atau ‘Panglima Perang Pas’ lantaran lantang mempertahankan kerajaan Pas.

Menurut Perdana Menteri, perbincangan dengan Menteri Besar Kelantan itu tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya dalam mempergiat ikhtiar membantu rakyat di negeri berkenaan.

Beliau berkata, tumpuan utama diberikan kepada peningkatan kesejahteraan hidup rakyat, peluasan peluang ekonomi serta pelaksanaan pembangunan yang adil dan seimbang tanpa mengira perbezaan pentadbiran politik.

“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya dalam mempergiat ikhtiar membantu rakyat Kelantan.

“Penekanan diberikan kepada peningkatan kesejahteraan hidup, peluasan peluang ekonomi serta pelaksanaan pembangunan yang adil dan seimbang,” menurut Anwar.

Malah, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap negeri, termasuk Kelantan, diberikan perhatian sewajarnya melalui dasar dan tindakan yang berpaksikan kepentingan rakyat serta masa depan yang lebih terjamin untuk semua.

Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar terus menyalurkan peruntukan pembangunan tahunan termasuk bagi projek jalan raya, hospital, sekolah dan kemudahan awam.

Kerajaan MADANI juga menyalurkan sejumlah peruntukan yang besar kepada Kelantan bagi projek tebatan banjir, penyelesaian air bersih serta pembangunan luar bandar walaupun diperintah parti pembangkang.

Tahun lalu, Anwar menegaskan bahawa kerajaan telah menjimatkan RM1.7 bilion apabila pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok disegerakan.

Menteri Kewangan berkenaan berkata, sebelum ini kerajaan memutuskan supaya ketiga-tiga fasa bagi pembinaan projek tersebut disekalikan, termasuk fasa yang diselenggara Majlis Keselamatan Negara (MKN).

BACA JUGA Aktivis imbas kembali hasil petroleum mula disalur ke akaun negeri Kelantan sejak bila