Pas gerak sendiri jika Bersatu gagal selesai masalah
Krisis dalaman Bersatu yang tidak menunjukkan tanda reda dilihat mengundang kemungkinan bahawa Pas akan membawa haluan sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti itu tidak boleh membiarkan konflik yang tidak berkesudahan dalam Bersatu mengganggu persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, Pas memandang serius kelewatan penyelesaian konflik dalaman Bersatu kerana ia boleh menjejaskan kesiapsiagaan gabungan.
“Kita bimbang takut-takut kalau Bersatu tidak dapat membuat penyelesaian terhadap konflik dalaman mereka, ia akan mengganggu pergerakan dan persiapan kita menuju pilihan raya.
“Jika itu berlaku, Pas tiada pilihan lain melainkan bergerak berasingan daripada Bersatu dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya dalam satu reaksinya kepada media yang tular.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PN berkata, Pas tidak mampu untuk membawa bersama parti yang masih diselubungi konflik dalaman yang tidak berkesudahan.
Berpecah
Bersatu yang sedang disindir sebagai ‘Berpecah’ menyaksikan perbalahan antara kem presiden parti itu, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Episod bertegang urat yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu diperhati tajam Pas sebagai rakan gabungan dalam PN.
Terbaharu, 16 Ahli Parlimen Bersatu hari ini secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Whip Dewan Rakyat Bersatu, Ronald Kiandee, yang mendesak agar Mahiaddin segera meletak jawatan sebagai Presiden parti.

Gesaan Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu terhadap Mahiaddin itu, sekali gus menjadikannya pemimpin kanan pertama yang secara terbuka meminta Ahli Parlimen Pagoh berkenaan melepaskan jawatan tertinggi Bersatu.
Kiandee menyifatkan Mahiaddin gagal mengurus krisis dalaman Bersatu dan mahu kekal berkuasa dengan harapan suatu hari nanti akan dilantik semula sebagai Perdana Menteri.
Sementara itu, Lembaga Disiplin Bersatu setakat ini belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Hamzah selepas Timbalan Presiden itu tidak hadir pada pendengaran Lembaga Disiplin semalam.
Sebelum ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, dilaporkan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin Bersatu.
Tindakan itu ekoran dakwaan pembabitan Ahli Parlimen Larut berkenaan dalam kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu serta serangan terhadap Mahiaddin.
BACA JUGA 16 MP Bersatu sokong desakan Kiandee, gesa Mahiaddin berundur Presiden Bersatu