Kontroversi Saham Azam Baki: Ujian Integriti SPRM di Tengah Agenda Reformasi Negara
Cadangan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkenaan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) memanggil Azam Baki hadir memberi penjelasan berhubung kontroversi pemilikan saham kembali menghangatkan perbahasan awam mengenai integriti institusi.
Syor itu dikemukakan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, yang berpandangan langkah tersebut wajar demi memastikan ruang penjelasan terbuka dan telus diberikan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, penjelasan menyeluruh amat penting bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap SPRM, lebih-lebih lagi ketika agensi berkenaan sedang mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi.
Dalam konteks semasa, usaha membanteras rasuah menjadi antara agenda utama pentadbiran Anwar Ibrahim.
Justeru, sebarang persepsi negatif terhadap kepimpinan SPRM berpotensi menjejaskan naratif reformasi yang sedang dibina kerajaan.
Isu terbaharu ini tercetus susulan laporan Bloomberg yang mendedahkan butiran berkaitan pemilikan saham berkenaan.
Pendedahan itu disifatkan sebagai mengejutkan, memandangkan Azam sebelum ini pernah berdepan kontroversi hampir sama pada 2021, yang mencetuskan bantahan awam pada awal 2022.
Ketika itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memutuskan tiada pelanggaran undang-undang sekuriti berlaku kerana transaksi berkenaan dikaitkan dengan akaun dagangan adiknya.
Namun, persoalan yang timbul kini bukan semata-mata soal teknikal perundangan.
Yang lebih besar ialah soal persepsi dan tadbir urus.
Dalam politik moden, integriti bukan sahaja perlu wujud, tetapi mesti dilihat wujud.
Apabila isu hampir serupa berulang selepas beberapa tahun, masyarakat tentu tertanya-tanya sama ada mekanisme kawalan dalaman benar-benar berkesan atau sekadar bergantung kepada penjelasan undang-undang semata-mata.
Sebagai penjawat awam berprofil tinggi, khususnya menerajui agensi pencegahan rasuah, standard yang diletakkan terhadap Azam sudah tentu lebih tinggi berbanding pegawai biasa.
Dalam suasana rakyat semakin peka terhadap isu rasuah melibatkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan, ketelusan menjadi mata wang paling berharga.
Pemanggilan oleh JKPK, jika direalisasikan, bukanlah bentuk penghukuman awal.
Sebaliknya, ia boleh menjadi platform institusi untuk meredakan kekeliruan, memulihkan keyakinan dan menunjukkan bahawa prinsip akauntabiliti benar-benar diamalkan tanpa mengira kedudukan.
Dalam perjuangan memerangi rasuah, konsistensi dan ketelusan adalah ujian sebenar kepada kesungguhan reformasi.
BACA JUGA: Undang-undang perobohan binaan haram di tanah sendiri