Kerajaan tubuh Jawatankuasa Khas siasat dakwaan libat Ketua Pesuruhjaya SPRM

FOTO BERITA: Sidang Media Mingguan oleh Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan, YB Datuk Fahmi Fadzil di Menara Komunikasi, Persiaran Perdana, Presint Putrajaya. 13hb Februari 2026 (Jumaat)

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil memaklumkan Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Menurut Fahmi, jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara dan bertanggungjawab menjalankan siasatan secara telus, bebas serta menyeluruh terhadap dakwaan yang dibangkitkan.

“Hasil siasatan akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan integriti,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran tegas terhadap penyebaran maklumat palsu berunsur perkauman menerusi taktik yang dikenali sebagai “coordinated inauthentic behaviour”.

Fahmi memaklumkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun TikTok yang menyebarkan kandungan serupa berkaitan satu insiden jenayah dengan naratif berbaur perkauman.