Laman Facebook Bersatu telah diambil alih pentadbir pro-Hamzah

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Abdul Aziz mengesahkan bahawa laman Facebook partinya telah diambil alih tanpa kebenaran semalam oleh pentadbir halaman yang mempunyai kaitan dengan timbalan presiden yang dipecat, Datuk seri Hamzah Zainudin.

“Susulan pengambilalihan tersebut, beberapa pentadbir (admin) sah telah dikeluarkan daripada akses halaman, dan beberapa hantaran telah dimuat naik yang mengandungi kandungan menyerang parti serta pemimpin-pemimpin parti. Kandungan tersebut adalah tidak sah, tidak mewakili pendirian rasmi parti, dan dibuat tanpa kebenaran kepimpinan Bersatu.

“Pihak parti telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dalam tindakan ini. Individu berkenaan merupakan salah seorang pentadbir halaman dan mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin Bersatu yang telah dipecat daripada jawatan semalam.

Tun Faisal mengesahkan bahawa laporan telah dibuat kepada Facebook untuk tujuan pemulihan segera akses halaman rasmi tersebut.

Aduan juga telah difailkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Laporan polis juga telah dibuat di bawah Akta Jenayah Komputer 1997, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan seksyen tertentu di bawah Kanun Keseksaan berkaitan penipuan, pemalsuan dan fitnah.

Pentadbir telah memuatnaik kandungan yang mengkritik presiden parti Tan Sri Mahiaddin Yassin sejak petang semalam.

BACA JUGA: Lepas dipecat Hamzah siar gambar beliau di Rusila, termasuk Hadi dan Samsuri