Siapa ketua pembangkang? Bersatu belum putuskan
Setiausaha agung Bersatu Datuk Seri Azmin Ali mengesahkan bahawa partinya belum memutuskan calon baharu untuk jawatan ketua pembangkang yang sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin – timbalan presiden yang dipecat semalam.
“(Jawatan ketua pembangkang), kita tidak putuskan lagi. Kita akan keluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di kediaman rasmi presiden Mahiaddin Yassin.
Mesyuarat khas tersebut berlangsung susulan pemecatan Hamzah.
Azmin turut mengulas berkenaan pemecatan Hamzah dan 16 pemimpin Bersatu yang dibuat semalam.
“Terpulang kepada mereka yang telah dijatuhkan hukuman untuk membuat rayuan. Dalam Bersatu ada kaedah untuk menguruskan krisis dan semua ahli tertakluk kepada perlembagaan parti,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pemecatan tersebut sebagai proses pendewasaan parti.
“Ini proses pendewasaan parti. Selepas sembilan tahun dibina, pastinya ada pindaan dan perubahan yang perlu dilakukan,” katanya.