Nasi lemak, teh tarik mendunia sampai ke AS

Pasangan pencipta kandungan dari Amerika Syarikat (AS) menjadi perhatian rakyat Malaysia selepas memperkenalkan hidangan tradisi negara ini iaitu nasi lemak dan teh tarik kepada anak-anaknya.

Menerusi perkongsian di Instagram, pasangan suami isteri yang dikenali sebagai William dan Elkey Zandstra menyediakan sendiri hidangan tersebut sebagai menu utama untuk sarapan mereka sekeluarga pada hari itu.

Difahamkan, setiap minggu dia dan suami akan menyediakan hidangan yang berbeza-beza mengikut negara yang dipilih anak-anak mereka secara rawak dalam glob dunia.

Mereka menceritakan serba sedikit tentang kelebihan Malaysia yang kaya dengan hutan hujan tropika dengan sesetengah daripadanya (termasuk Taman Negara) berusia lebih 100 juta tahun.

Selain itu mereka belajar bahasa Malaysia yang ringkas seperti selamat pagi dan selamat malam.

“Setiap minggu, anak-anak memutarkan glob dan memilih negara secara rawak. Dan kami akan hasilkan hidangan sarapan dari negara tersebut,” katanya.

Tidak hanya itu, mereka juga menggunakan lagu kebangsaan negara, lagu Negaraku sebagai muzik latar video yang dimuat naik.

Ia mendapat perhatian pengguna media sosial yang teruja apabila masyarakat negara luar berminat mengetahui serba sedikit tentang Malaysia terutama makanan kegemaran rakyat negara ini.

Di ruangan komen, pencipta kandungan itu juga mengakui agak sukar untuk dia dan suami membuat pemilihan makanan mana yang mahu diketengahkan dalam video mereka kerana banyak yang mahu mereka cuba.

BACA JUGA Radzi Jidin, Faizal Azumu jadi timbalan presiden Bersatu