Polis ambil tindakan jika dapati himpunan #TangkapAzamBaki sentuh isu 3R

Polis akan melakukan semakan semula terhadap keseluruhan perjalanan himpunan #TangkapAzamBaki bermula dari awal hingga akhir melalui risikan dan siasatan.

Semua aspek akan diteliti termasuk ucapan dan kandungan perhimpunan bagi memastikan tiada elemen yang melanggar undang-undang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, langkah itu bagi memastikan tiada sebarang isu sensitif membabitkan agama, bangsa, dan Institusi Diraja (3R) dibangkitkan sepanjang perhimpunan itu.

“Kita akan memerhati semula perhimpunan ini untuk memastikan tiada isu dikaitkan dengan 3R.

“Sekiranya ada, pihak polis akan mengambil tindakan serta-merta untuk membuka kertas siasatan dan menjalankan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Mengulas keseluruhan perjalanan himpunan #TangkapAzamBaki, Fadil berkata himpunan diadakan dengan aman tanpa kekerasan, tiada kacau ganggu, dan tiada tindakan yang menggugat ketenteraman awam.