Dari Langkah Sheraton ke krisis Bersatu: Usah biar oportunisme kuasai UMNO
Oleh DR SHAHNOR BASRI
Kemelut dalaman Bersatu pada masa ini bukan sekadar episod perebutan jawatan.
Ia adalah bab lanjutan daripada sebuah kisah politik yang dibina bukan atas mandat rakyat, tetapi atas percaturan kuasa.
Apa yang berlaku antara Mahiaddin Yassin dan Hamzah Zainuddin hanyalah pantulan kepada budaya yang mereka sendiri suburkan.
Dari Mandat Rakyat ke “Tebuk Atap”
Kita tidak boleh berbicara tentang krisis Bersatu tanpa kembali kepada Februari 2020 yang merupakan detik kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0. Peristiwa yang dikenali sebagai “Langkah Sheraton” bukanlah kebetulan sejarah.
Ia adalah hasil perancangan rapi sekumpulan elit politik, termasuk Azmin Ali, yang akhirnya mengangkat Mahiaddin sebagai Perdana Menteri tanpa melalui pilihan raya.
Hamzah bukan pemerhati pasif. Beliau antara arkitek penting yang menyusun percaturan, merundingkan sokongan dan memastikan angka mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Naratif ketika itu dibungkus atas nama kestabilan dan penyatuan Melayu. Hakikatnya, ia adalah strategi kuasa.
Lebih awal lagi, ketika meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu, Hamzah terlibat dalam mobilisasi sentimen melalui Kongres Maruah Melayu bersama Mahathir Mohamad dan kepimpinan Pas. Retorik besar dilaungkan, tetapi objektifnya jelas iaitu melemahkan kerajaan dari dalam.
Politik tanpa memori
Kini apabila berlaku retakan dalam Bersatu, tiba-tiba istilah “pengkhianatan” kembali berlegar.
Ironinya, perkataan itu datang daripada kelompok yang membina kerajaan melalui manuver politik paling kontroversial dalam sejarah moden negara.

Hamzah hari ini mahu dilihat sebagai mangsa. Tetapi rekod politiknya menunjukkan pola yang konsisten: kesetiaan bergerak seiring kepentingan.
Dari UMNO ke Bersatu, dari pendukung Mahathir kepada sekutu paling kanan Muhyiddin — semuanya berlaku dalam rentang masa yang singkat, dan semuanya berakhir apabila keseimbangan kuasa berubah.
Jika politik itu diibaratkan kapal, maka kapal yang dibina atas kayu pengkhianatan memang menunggu masa untuk bocor.
Pas: Konsisten dalam oportunisme
Dalam setiap episod ketidakstabilan, Pas hampir tidak pernah terlepas peluang. Ketika Langkah Sheraton berjaya, antara yang paling awal mengabsahkan kerajaan baharu ialah Takiyuddin Hassan dan Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Retorik moral dan agama yang sering dilaungkan sebelum itu seakan-akan tidak lagi menjadi syarat.
Kini apabila Hamzah dilihat terpinggir, sekali lagi karpet merah telah sedia dihamparkan. Dalam politik Pas, musuh semalam boleh menjadi sahabat hari ini asalkan laluan kuasa kekal terbuka.
Amaran keras buat UMNO
Di sinilah persoalan besar timbul kepada UMNO. Jika ada suara yang mencadangkan Hamzah sebagai sekutu baharu, maka UMNO perlu berfikir panjang.
UMNO sedang berusaha membina semula kredibiliti selepas melalui fasa paling sukar dalam sejarahnya.
Parti itu kini berada dalam Kerajaan Perpaduan dan berusaha memulihkan imej sebagai parti berteraskan institusi dan kestabilan.
Menerima tokoh yang menjadi arkitek kejatuhan kerajaan pilihan rakyat akan menghantar mesej yang sangat bercanggah.
Hamzah bukan simbol politik bermaruah atau beradab tinggi. Rekodnya memperlihatkan politik berkepentingan bukan politik prinsip.
Menerimanya bukan sahaja berisiko merosakkan usaha pemulihan UMNO, malah mengulangi kesilapan lampau: memberi ruang kepada individu yang setia selagi kuasa memihak kepadanya.
UMNO tidak boleh menjadi “pelabuhan terakhir” bagi mana-mana ahli politik yang kehilangan tapak.
Jika parti itu benar-benar mahu kembali dihormati, ia mesti berani menolak oportunisme walaupun dibungkus dengan naratif penyatuan Melayu.
Politik tanpa prinsip tidak pernah kekal
Kemelut Bersatu adalah cerminan budaya yang mereka bina sendiri. Mahiaddin dan Hamzah saling memerlukan ketika kuasa ada dalam tangan.
Pas sentiasa bersedia menangguk di air keruh. Kini apabila keseimbangan berubah, masing-masing mencari sandaran baharu.
Rakyat perlu menjadi semakin celik. Mereka tidak lagi boleh mudah terpesona dengan slogan besar atau retorik emosi.
Mereka perlu menilai rekod, konsistensi dan integriti. Sejarah politik Malaysia telah membuktikan satu perkara: parti yang gagal membezakan antara prinsip dan kepentingan akhirnya akan kehilangan kedua-duanya.
Dan bagi UMNO, pilihan di hadapan amat jelas — berdiri atas maruah dan institusi, atau sekali lagi terjerumus ke dalam kitaran oportunisme yang pernah melemahkannya.
BACA JUGA Polis ambil tindakan jika dapati himpunan #TangkapAzamBaki sentuh isu 3R