Wan Saiful selar hipokrasi Mahiaddin dan ‘penjilatnya’

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menarik balik rayuannya kepada Lembaga Rayuan Bersatu kerana melihat parti pembangkang itu mengamalkan hipokrasi terhadap ahlinya.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, antara tuduhan kesalahan dikenakan terhadapnya adalah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dalam Perikatan Nasional (PN).

“Perkara yang sama dilakukan oleh Muhyiddin Yassin hari ini. Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN.

“Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” tempelaknya menerusi hantaran di Facebook pagi ini.

Wan Saiful dalam suratnya bertarikh semalam turut menyebut tentang Setiausaha Agung Bersatu,Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau mendakwa Azmin yang menyertai Bersatu bersama 10 bekas Ahli Parlimen PKR pada 28 Februari 2020 sebagai menguasai Mahiaddin.

“Saya berpandangan bahawa Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana YB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai oleh Azmin Ali.

“Ini menyebabkan Bersatu lari jauh dari agenda rakyat, kepada hanya memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi.

“Maka dengan itu, saya menarik balik rayuan berkuatkuasa serta-merta,” tegas Wan Saiful lagi.

Kelmarin, Azmin dilapor berkata, episod pemecatan ahlinya secara besar-besaran adalah satu tempoh kematangan yang turut dilalui oleh parti politik lain di negara ini.

BACA JUGA Pahala tidak diberi ikut keahlian parti seperti Pas dakwa