Pemuda AMANAH sokong Azam Baki direhatkan sementara, siasatan telus dituntut
Pemuda AMANAH Nasional menyatakan sokongan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, direhatkan daripada tugas buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada siasatan bebas, telus dan menyeluruh terhadap segala tuduhan yang berbangkit.
Timbalan KetuaNYA, Danial Al-Rashid berkata, pendirian itu bukan bersifat peribadi terhadap individu berkenaan, sebaliknya berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik serta keperluan mempertahankan integriti institusi penguatkuasaan negara.
“Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebarang kontroversi yang menimbulkan persoalan awam wajar ditangani dengan langkah profesional dan berhemah bagi mengelakkan persepsi konflik kepentingan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Batu Tiga berkenaan berkata, langkah merehatkan sementara adalah satu tindakan pentadbiran yang matang, bukan hukuman.
Ia jelasnya, bertujuan memberi ruang kepada proses siasatan dijalankan tanpa campur tangan, sekali gus memelihara kepercayaan awam terhadap institusi.
Sebelum ini, laporan media asing Bloomberg mendakwa Azam mempunyai saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Azam kemudian menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Bahkan, Azam berkata, tidak ada perkara yang disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham itu yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun sama.
Mengulas lanjut, Danial mengingatkan tentang prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’ tetap dihormati.
Namun dalam masa yang sama, ujanya, aspek integriti dan kredibiliti institusi penguatkuasaan perlu diutamakan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan usaha memerangi rasuah tidak terjejas.
“Malaysia memerlukan institusi yang diyakini rakyat, dan keyakinan itu hanya boleh diperkukuhkan melalui ketelusan serta kebertanggungjawaban,” katanya.
Danial menambah sayap pemuda parti komponen Kerajaan Perpaduan itu kekal komited untuk mempertahankan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik demi masa depan negara.
BACA JUGA Wan Saiful selar hipokrasi Mahiaddin dan ‘penjilatnya’