KDNK 6.3%, inflasi rendah: Kerajaan MADANI tunjuk hasil, PN masih terus mabuk kuasa
Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencatatkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar pentadbiran yang konsisten selepas tempoh ketidaktentuan politik dan kelemahan ekonomi sebelum ini.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil, berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2025 yang melonjak kepada 6.3 peratus merupakan kadar tertinggi dalam tempoh 12 suku berturut-turut.
Secara keseluruhan, katanya, ekonomi negara berkembang 5.2 peratus sepanjang tahun lalu, jauh mengatasi unjuran rasmi antara 4 hingga 4.8 peratus.
“Ini bukan angka kecil, tetapi bukti bahawa dasar kerajaan yang konsisten dan berfokus akhirnya memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut menekankan bahawa kadar inflasi negara kekal terkawal, dengan inflasi 2025 menurun kepada 1.4 peratus berbanding 1.8 peratus pada 2024.
Pada masa sama, ujarnya, defisit fiskal negara terus berkurang melebihi jangkaan, mencerminkan keberkesanan langkah kerajaan dalam menstabilkan kos sara hidup dan kewangan negara.
“Nilai Ringgit juga mencerminkan keyakinan pasaran. Untuk dua tahun berturut-turut, 2024 dan 2025, Ringgit menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia, dan kini kembali mengukuh sekitar RM3.90 sesesetengah waktu dagangan.
“Ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi kerana pelabur melihat Malaysia kembali stabil dan kompetitif,” jelasnya.
Keyakinan global
Selain itu, Faiz berkata, aliran pelaburan asing dilihat terus meningkat apabila jumlah pelaburan diluluskan mencecah RM150.8 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2025, iaitu peningkatan 48 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Pencapaian tersebut, kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu membuktikan keyakinan global terhadap kedudukan ekonomi Malaysia yang semakin stabil dan kompetitif.
Dari sudut tadbir urus, beliau berkata, peningkatan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 kepada kedudukan ke-54 dunia iaitu tertinggi sejak 2020 mencerminkan komitmen kerajaan MADANI terhadap pembaharuan institusi dan usaha memperkukuh integriti pentadbiran.

Bagaimanapun, Faiz mengkritik pembangkang yang masih bergelut dengan konflik dalaman dan perebutan kuasa, sehingga gagal menawarkan dasar atau idea konkrit kepada rakyat.
Tegasnya, ketika Malaysia bergerak ke hadapan dengan pertumbuhan dan pembaharuan, Perikatan Nasional (PN) masih sibuk bertelagah sesama sendiri.
“Mereka sibuk berebut kuasa dalam pembangkang sehingga lupa menyediakan dasar atau idea konkrit untuk negara.
“Perebutan kuasa inilah yang PN warisi sejak mereka membentuk kerajaan tebuk atap dan penyatuan Melayu hanyalah candu politik bagi mendapat kuasa.
“Kerana candu, mereka kekal mabuk dan hilang arah, natijahnya pembangkang gagal untuk perjuangkan kepentingan rakyat dan masa depan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, Faiz menegaskan bahawa rakyat perlu menilai rekod prestasi semasa Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kestabilan ekonomi dan pentadbiran, berbanding pembangkang yang menurutnya masih belum mampu menjamin kestabilan politik dalam kalangan mereka sendiri.
“Jika dibiarkan mereka memegang tampuk kuasa, sudah pasti ekonomi negara kembali lemah akibat ketidaktentuan politik yang akhirnya menyusahkan hidup rakyat,” kata Faiz lagi.
BACA JUGA Pemuda AMANAH sokong Azam Baki direhatkan sementara, siasatan telus dituntut