Shamsul Iskandar mohon kes rasuah dibicara di Mahkamah Tinggi

Bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin memfailkan permohonan supaya kes pertuduhan rasuahnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Difahamkan, permohonan difailkan kerana kes berkenaan melibatkan persoalan perundangan yang rumit termasuk isu tafsiran undang-undang serta keperlembagaan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang tidak sesuai diputuskan di peringkat Mahkamah Sesyen.

Peguamnya, Amer Hamzah Arshad memaklumkan, notis telah difailkan pada 4 Februari lalu.

Beliau turut memaklumkan, kes berkenaan mempunyai kepentingan awam memandangkan ia membabitkan bekas pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri.

“Terdapat persoalan dan isu undang-undang di mana kesukaran undang-undang luar biasa akan timbul, termasuk perkara melibatkan keperlembagaan peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.

“Persoalan ini hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya oleh Mahkamah Persekutuan,” kata notis itu.

Dalam afidavit sokongan, Shamsul Iskandar berkata, perbicaraan kes itu dijangka membabitkan tafsiran teknikal undang-undang khususnya berkaitan sumbangan politik dan pemakaian Akta 694, yang memerlukan pengendalian di peringkat Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, pengalaman dan kepakaran hakim Mahkamah Tinggi amat penting bagi memastikan perjalanan perbicaraan berjalan teratur selain mengelakkan pembaziran masa serta kos.

Shamsul berkata jika perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, pihak-pihak akan berpeluang untuk akhirnya mendapatkan penentuan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan, khususnya mengenai persoalan keperlembagaan peruntukan di bawah Akta SPRM dan isu undang-undang berkaitan yang dibangkitkan.

BACA JUGA ‘Jangan ingat saya tak tahu apa-apa…’ – Agong beri amaran lebih ramai dalam ‘radar’ baginda