Pas lagi Cina dari Cina, kalau PMX buat mesti walaun meroyan

Ucapan sempena Tahun Baharu Cina daripada Pas dihujani sindiran dalam kalangan orang ramai, termasuk masyarakat Tionghoa sendiri yang menyifatkannya sebagai “lebih Cina daripada orang Cina”.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menerusi poster ucapan perayaan itu malah tampil berbusana tradisional Cina lengkap mengenakan kopiah merah.

Sambil memegang kipas, ucapan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas berkenaan sepenuhnya dalam bahasa Cina dan bahasa Inggeris tanpa sama sekali menggunakan bahasa Melayu.

Rata-rata warganet menempelak perkongsian poster ucapan itu, malah membangkitkan kemungkinan reaksi penyokong Pas jika Perdana Menteri atau pemimpin Pakatan Harapan (PH) melakukan perkara yang sama.

Menjengah ruangan komentar di Facebook Pemuda Pas Selangor, netizen turut menyindir dengan berkongsikan gambar pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan ayahnya, Lim Kit Siang serta ahli keluarga mereka menyambut perayaan itu.

Ini memandangkan pemakaian pemimpin Pemuda Pas berkenaan dilihat ‘beria-ia’ jauh mengalahkan penampilan sederhana keluarga pemimpin DAP.

Pengguna Facebook, Chin Yit Hon antaranya, meninggalkan komentar, “Fuh… kopiah merah manakala Vincent Rampai berkata, “Kalau PMX pakai kena kecam”.

Sementara itu, Lim Swee Kong secara sinis menulis, “Ingatkan warna hijau”, manakala Ivan Cheong pula berkata, “Tiba-tiba sudah tak rasis”.

Semakan turut mendapati, lebih banyak emoji ketawa ditinggalkan netizen berbanding tanda suka untuk hantaran tersebut.

Sebanyak 2,200 emoji ketawa direkodkan daripada keseluruhan 2,900 reaksi dalam tempoh 15 jam selepas hantaran itu dimuat naik di Facebook Pemuda Pas Selangor.

BACA JUGA Tolak prasangka, jangan biarkan beza pandangan retakkan hubungan