Air pasang besar hingga 5.4 meter dijangka di Pelabuhan Klang

Orang ramai khususnya penduduk di kawasan pesisir dan berhampiran Sungai Klang diminta bersedia menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Stesen Pelabuhan Klang bermula 18 hingga 22 Februari ini.

Pusat Operasi Bencana Daerah (DDOC) Klang memaklumkan paras air laut tertinggi dijangka mencecah 5.4 meter pada 20 dan 21 Februari ini, sekali gus berpotensi meningkatkan risiko limpahan air di kawasan rendah dan berisiko banjir.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, memantau keadaan cuaca semasa dan mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku peningkatan paras air atau situasi kecemasan.

Penduduk di kawasan mudah dinaiki air turut digalakkan mengambil langkah pencegahan awal, termasuk memindahkan barangan penting ke tempat lebih tinggi.

“Orang ramai diminta untuk bersedia dan sentiasa peka dengan keadaan alam sekeliling,” menurut kenyataan DDOC Klang itu lagi.

BACA JUGA Amaran ribut petir, hujan lebat di 8 negeri hingga tengah hari ini