Buat pemuja K-Drama, ketahui 8 fakta sisi gelap budaya Korea
Oleh SAINI SAI
Apabila disebut mengenai Korea Selatan, apa yang terlintas di fikiran? Mesti terbayang Oppa kacak dalam K-Drama, kulit licin macam cermin, dan gaya hidup mewah di Gangnam.
Nampak macam syurga dunia. Tapi realitinya, ramai anak muda di sana memanggil negara sendiri sebagai “Neraka Joseon”.
Di sebalik senyuman dan lagu rancak itu, ada sisi gelap yang membuatkan rakyatnya sendiri rasa mahu lari jauh.
Jangan tertipu dengan apa yang ditunjukkan di TV, sebab realiti tidak seindah filter Instagram.
Ini antara fakta sisi gelap budaya Korea Selatan yang jarang didedahkan:
1) Budaya “Gapjil” (Gila Kuasa)
Ini adalah istilah untuk sikap angkuh atau penyalahgunaan kuasa oleh orang atasan terhadap orang bawahan.
Dalam hierarki sosial Korea yang ketat, mereka yang mempunyai wang atau pangkat sering memandang rendah pekerja bawahan.
Bos memaki hamun pekerja atau pelanggan memaksa pekerja kedai melutut memohon maaf atas kesilapan kecil adalah pemandangan biasa.
2) Obsesi Kecantikan (Lookism)
Rupa paras dianggap sebagai sebahagian daripada “kredit” atau kelayakan seseorang, sama pentingnya dengan sijil pelajaran. Ramai graduan berasa terpaksa melakukan pembedahan plastik bukan semata-mata untuk kepuasan diri, tetapi untuk meningkatkan peluang diterima bekerja.
Foto resume sering menjadi penentu utama dalam saringan awal temu duga. Kalau rupa tak siap, jangan harap nak dapat kerja bagus.

3) Fenomena “Neraka Joseon”
Istilah ini digunakan oleh anak muda Korea untuk menggambarkan negara mereka sebagai neraka yang tiada jalan keluar.
Ia merujuk kepada situasi ekonomi yang sukar, persaingan kerja yang melampau, dan sistem kelas sosial yang menyukarkan mobiliti sosial.
Ramai menggelarkan diri mereka sebagai “Generasi Sampo” iaitu generasi yang melepaskan tiga perkara penting: perhubungan, perkahwinan, dan anak kerana tekanan ekonomi.
4) Budaya Buli di Sekolah (Hakpok)
Buli di sekolah Korea sangat ekstrem dan sistematik. Wujud istilah “shuttle roti” di mana mangsa buli dipaksa berlari membeli roti untuk pembuli setiap masa rehat.
Kini ia berkembang kepada “shuttle wifi” di mana mangsa perlu menyediakan hotspot data untuk pembuli.
Rekod disiplin sekolah berkaitan buli kini menjadi isu besar yang boleh memusnahkan kerjaya selebriti atau atlet jika didedahkan kemudian hari.
5) Budaya “Hoesik” yang Toksik
Hoesik adalah budaya makan malam dan minum bersama rakan sekerja selepas waktu pejabat. Walaupun tujuannya untuk mengeratkan hubungan, ia sering menjadi mimpi ngeri.
Pekerja selalunya tidak boleh menolak ajakan bos dan dipaksa minum alkohol secara berlebihan sehingga lewat malam, walaupun perlu bekerja awal keesokan harinya.
Menolak pelawaan minum sering dianggap tidak menghormati hierarki dan boleh menjejaskan peluang kenaikan pangkat.
6) Tekanan Akademik Gila (Hagwon)
Pelajar sekolah di Korea sering menghabiskan masa sehingga 16 jam sehari untuk belajar. Selepas sekolah tamat, mereka akan ke “Hagwon” (pusat tuisyen swasta) sehingga jam 10 malam atau lebih lewat.
Persaingan untuk masuk ke universiti elit begitu sengit sehingga pelajar tiada masa untuk bersosial atau berehat.
Ini menyumbang kepada kadar depresi dan bunuh diri yang tinggi dalam kalangan remaja.
7) Kematian Sunyi (Godoksa)
Disebabkan struktur keluarga yang semakin longgar dan tekanan hidup, wujud fenomena di mana seseorang mati bersendirian di rumah dan mayatnya hanya ditemui selepas beberapa hari atau minggu.
Ini sering berlaku kepada warga emas yang diabaikan dan juga golongan muda yang mengasingkan diri daripada masyarakat kerana gagal menepati piawaian kejayaan yang ditetapkan.
8) Keganasan Siber (K-Netz)
Netizen Korea atau “K-Netz” terkenal dengan jari yang sangat bisa. Mereka bukan sekadar mengkritik, tetapi mencari kesalahan sekecil kuman untuk menjatuhkan seseorang.
Silap cakap sikit atau berat badan naik, bersedialah untuk diserang berjemaah di media sosial tanpa belas kasihan.
Budaya komen jahat ini sangat toksik sehingga pernah menyebabkan ramai selebriti terkenal membun*h diri kerana tidak tahan tekanan mental.
Di sana, standard moral yang diletakkan sangat tinggi dan tiada istilah “maaf” bagi mereka yang tersilap langkah.
Walaupun begitu, kali ini mereka (k-netz) tersilap langkah nak cari pasal dengan orang Asean. Army SEAblings 1000 kali ganda lebih savage dan rakus dari mereka. 😂
Kesimpulan
Layan K-Drama tu setakat buat cuci mata bolehlah, sebab itu sajalah benda paling indah pasal negara itu.
Apa yang kita tonton di skrin hanyalah ‘filter’ tebal untuk menutup parut sebenar masyarakat mereka.
Bersyukurlah kita cuma penonton dari jauh yang menikmati fantasi, bukan mangsa realiti di sana.
Sekurang-kurangnya di sini, kita masih boleh hidup tenang, makan comot dan pakai selekeh pun tidak ada siapa peduli, asalkan bahagia dan tidak perlu jadi robot plastik semata-mata nak dipandang manusia.
BACA JUGA Air pasang besar hingga 5.4 meter dijangka di Pelabuhan Klang