Tanaman menjadi, ternakan sihat: Menteri seru gandakan usaha tani sempena Tahun Baharu Cina
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menekankan kepentingan sektor tanaman dan ternakan sebagai teras kemakmuran negara, sambil mengaitkan usaha memperkukuh pengeluaran makanan dengan semangat perpaduan rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja dikurniakan tanah yang subur untuk padi, sayur-sayuran dan buah-buahan, malah turut subur dengan nilai muafakat dan kasih sayang yang menjadi kekuatan masyarakat majmuk negara ini.
“Di bumi bertuah ni, bila Aidilfitri tiba kita sama-sama ziarah. Bila Deepavali menjelma, kita sama-sama meraikan.
“Bila Tahun Baru Cina datang, kita pun tumpang gembira. Kita kongsi juadah, kongsi senyuman, kongsi cerita, tak kira bangsa, tak kira agama,” ucapnya sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial rasmi, Mohamad berkata, simbolik Tahun Kuda melambangkan kerajinan, keberanian dan semangat untuk terus bergerak ke hadapan yang merupakan nilai amat penting dalam memajukan sektor agromakanan negara.
“Kuda kalau berlari, dia tak toleh belakang. Dia pandang depan, langkah terus laju. Yang penting kita usaha hari ni, untuk masa depan yang lebih baik,” ujar Presiden AMANAH itu.
Sehubungan itu, beliau yang mesra disapa Bang Mat berkata, kepelbagaian budaya di Malaysia bukanlah jurang pemisah, sebaliknya jambatan yang menguatkan negara termasuk dalam usaha memastikan keterjaminan makanan.
“Tanpa perpaduan kita akan goyah, dengan perpaduan kita akan teguh dan dihormati.
“Bang Mat nak ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua sahabat yang meraikan.
“Moga tahun ni rezeki kita makin luas, usaha kita menjadi, tanaman menjadi, ternakan sihat, laut pun murah hasilnya,” doanya.
Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan turut berharap agar tahun baharu ini membawa rezeki yang lebih luas kepada rakyat, khususnya golongan pengeluar makanan, serta memastikan pengeluaran domestik terus meningkat demi kestabilan bekalan makanan negara.
“Apa saja kerja kita, buat sungguh-sungguh. Insya-Allah, hasil tak akan mengkhianati usaha.
“Semoga kebahagiaan, rezeki dan keharmonian terus menyatukan kita semua,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA Buat pemuja K-Drama, ketahui 8 fakta sisi gelap budaya Korea