Pokok tumbang di Seksyen 7 Shah Alam: Najwan Halimi minta tindakan segera dan pemantauan menyeluruh

SHAH ALAM, 17 Februari 2026 — Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi, menggesa tindakan segera dan pemantauan menyeluruh dilakukan susulan insiden pokok tumbang di Seksyen 7, Shah Alam yang mengakibatkan dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) cedera.
Menurut beliau, kejadian yang berlaku di Persiaran Profesor Arsyad Ayub itu melibatkan pokok jenis “kaya” yang tumbang dan menimpa mangsa, yang kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam.
“Saya telah berhubung dengan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan meminta agar tindakan segera diambil untuk memantau serta menyemak keadaan pokok-pokok, khususnya pokok lama dan besar yang berisiko tumbang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau memaklumkan bahawa pagi tadi, MBSA telah menutup laluan di sebelah kanan persiaran berkenaan bagi melaksanakan kerja-kerja pemangkasan dan penebangan pokok yang dikenal pasti berisiko. Insiden kedua turut dilaporkan berlaku di kawasan sama hari ini, melibatkan sebatang lagi pokok tumbang yang mengakibatkan kerosakan kenderaan.
“Memang kita tidak mahu sewenang-wenangnya menebang pokok kerana ia penting untuk ekosistem dan keseimbangan alam sekitar. Namun, aspek keselamatan awam perlu diutamakan. Pokok yang didapati berisiko tinggi perlu ditebang dan diganti dengan pokok baharu,” jelasnya.
Setakat ini, kira-kira lima hingga enam pokok telah dipangkas, manakala pokok yang condong atau menunjukkan tanda-tanda reput pada akar akan ditebang sepenuhnya. Kerja-kerja berkenaan dijangka melibatkan dua lorong sepanjang persiaran tersebut dalam tempoh beberapa hari.
Najwan turut menyeru orang ramai supaya bersabar dengan penutupan sementara laluan berkenaan demi memastikan keselamatan semua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta supaya MBSA tidak hanya menumpukan perhatian di kawasan tersebut sahaja, sebaliknya melakukan semakan menyeluruh di seluruh Shah Alam, khususnya di laluan utama yang mempunyai pokok besar dan berusia.
“Kita tidak mahu tunggu sehingga berlaku kehilangan nyawa baharu mahu bertindak. Jadikan insiden ini sebagai pengajaran,” tegasnya.
Mengulas mengenai kejadian banjir kilat yang turut melanda beberapa kawasan di Lembah Klang malam tadi, Najwan berkata kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan cuaca dan berada dalam keadaan siap siaga.
Menurutnya, setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka kerana kejadian hanya melibatkan banjir kilat dan bukan banjir termenung yang berpanjangan. Namun, agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dimaklumkan supaya bersedia sekiranya berlaku situasi tidak dijangka.
Beliau turut mencadangkan supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan khidmat pakar arboris bagi menilai tahap keselamatan pokok-pokok lama di kawasan masing-masing.
“Kalau pokok masih boleh diselamatkan, kita selamatkan. Jika tidak, tebang dan gantikan dengan yang baharu. Keselamatan rakyat adalah keutamaan,” katanya.