Krisis dalam Bersatu, Pas seru hikmah; krisis dalam Pas, Pas hukum
Naib presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar mempersoal pendekatan Pas yang bersifat menghukum dalam mendepani krisis dalaman tetapi menyeru Bersatu agar berhikmah untuk menyelesaikan krisis kepimpinan Bersatu.
“Pas tidak boleh terus menasihati orang lain tentang perpaduan jika perpaduan dalam rumah sendiri pun diselesaikan dengan penyingkiran.
“Dan Pas tidak boleh bercakap soal ukhuwah jika perbezaan pandangan terus dianggap pengkhianatan.
“Timbul satu persoalan mengapa apabila krisis berlaku dalam Bersatu, Pas menyeru hikmah; tetapi apabila krisis berlaku dalam Pas sendiri, pendekatan berubah menjadi hukuman?
“Lebih menarik, dalam masa yang sama pimpinan Pas sendiri mengakui wujud budaya “makan kawan”. Maka rakyat berhak bertanya adakah Pas sedang menasihati Bersatu, atau sebenarnya sedang melihat cermin kepada dirinya sendiri?”
Mahfuz berkata demikian sebagai reaksi kepada timbalan presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang “terkejut” dengan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Tuan Ibrahim telah menasihatkan Bersatu segera menyelesaikan masalahan dalaman Pas.
Mahfuz turut mengingatkan bagaimana Pas sendiri mengambil pendirian menghukum dengan memecat tiga Adun Pas Perlis yang menandatangani akuan bersumpah hilang keyakinan terhadap Menteri Besar dari Pas.
“Ketika itu tiada seruan berdamai, tiada ruang muhasabah, dan tiada pengakuan kesilapan kepimpinan. Yang berlaku ialah tindakan keras kemudian kesalahan diletakkan kepada ahli kerana didakwa tidak taat kepada pimpinan.”
Mahfuz menambah bahawa krisis Perlis lebih mengejutkan berbanding pemecatan 17 pimpinan Bersatu dan sepatutnya disalahkan ialah keputusan pucuk kepimpinan yang membawa kepada krisis negeri.
“Realitinya, masalah PN hari ini bukan datang dari luar. Ia datang daripada budaya dalaman yang gagal diselesaikan tetapi sering dinafikan. Selagi budaya menyalahkan orang lain lebih mudah daripada muhasabah, selagi itulah krisis akan berulang sama ada dalam Pas atau dalam PN.
“Pas tidak boleh terus menasihati orang lain tentang perpaduan jika perpaduan dalam rumah sendiri pun diselesaikan dengan penyingkiran. Dan Pas tidak boleh bercakap soal ukhuwah jika perbezaan pandangan terus dianggap pengkhianatan.”
BACA JUGA: Pas ditempelak ‘try hard’ nak tunjuk paling harmoni, tergamak ‘tunggang’ budak Pasti