11 bahagian Bersatu Johor umum pembubaran
Sebelas bahagian Bersatu di Johor hari ini mengumumkan pembubaran masing-masing susulan krisis dalaman yang sedang melanda parti itu.
Bahagian yang terlibat ialah Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Sri Gading, Ledang dan Pulai.
Pengumuman itu dibuat oleh wakil ketua-ketua bahagian berkenaan.
Ketua Bersatu Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid, berkata keputusan tersebut diambil susulan kemelut kepimpinan yang semakin meruncing dan gagal ditangani dengan berhemah oleh kepimpinan tertinggi parti.
Menurut Isa, pembubaran itu berlaku selepas lebih separuh ahli jawatankuasa di setiap bahagian meletakkan jawatan, sekali gus menyebabkan struktur kepimpinan tidak lagi berfungsi.
“Kami amat menyayangi Bersatu, namun pada persimpangan ini, kami perlu membuat keputusan berani dan bermaruah demi agama, bangsa dan negara.
“Krisis kepimpinan yang berpanjangan, termasuk pemecatan pemimpin kanan dan ahli Parlimen, telah mengaburkan hala tuju parti serta menghakis kepercayaan ahli dan pengundi.
“Selain itu, kegagalan presiden parti, Tan Sri Mahiaddin Yassin, dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, menyatukan ketua-ketua bahagian menyebabkan kami hilang keyakinan terhadap parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Johor,” katanya pada sidang media yang dihadiri kira-kira 100 ahli di sini hari ini.
Isa berkata, bahagian Mersing dan Labis telah pun menghantar surat rasmi pembubaran kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, manakala bahagian lain akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak bahagian akan mengambil langkah sama.
Sementara itu, bekas Ketua Bersatu Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang, yang merupakan antara individu yang dipecat, berkata kumpulan itu tidak akan bergerak secara individu dalam menentukan haluan masa depan.
Katanya, mereka akan membuat keputusan secara muafakat sekiranya menerima tawaran daripada parti lain.
“Kami tidak bergerak bersendirian. Apa jua keputusan seterusnya akan dibuat bersama. Perjuangan kami kekal sama, cuma platform mungkin berbeza,” katanya.
BACA JUGA: Bahagian Bersatu dibubarkan? Dakwaan berniat jahat, kata Azmin