Tiada makna puasa jika hati hitam

Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan ibadah puasa sekadar menahan lapar dan dahaga tanpa disertai pembersihan hati serta akhlak yang mulia.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, puasa tidak membawa makna sekiranya hati masih dikuasai kebencian hingga mendorong seseorang menyebarkan fitnah dan permusuhan.

“Tiada makna berpuasa jika hati hitam terdorong untuk mulut kita menyebar kebencian.

“Marilah kita berpuasa mulut kita dari berkata fitnah dan menyemai permusuhan,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, puasa untuk orang yang bertaqwa dengan sifat taqwa itu disemai di dunia dan dipetik hasilnya di akhirat kelak.

“Adab yang mulia dan taqwa pemberat mizan kita kelak,” katanya.

Ahli Dewan Negara turut mengingatkan bahawa Ramadan adalah kesempatan untuk mengawal hawa nafsu, walaupun syaitan dan iblis dibelenggu.

Menurutnya, cabaran sebenar adalah menundukkan nafsu yang masih mendorong manusia melakukan kesalahan.

“Syaitan dan iblis dibelenggu untuk manusia melakukan kebaikan. Yang tinggal hanyalah hawa nafsu yang mendorong manusia melakukan maksiat.

“Kawal dan jinakkan nafsu menjadi yang tenang dan sentiasalah bermuhasabah dengannya,” kata bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Mujahid turut menggariskan empat ciri yang perlu dipupuk oleh setiap Muslim, iaitu takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, reda dengan habuan dunia serta bersiap sedia untuk perjalanan menuju kehidupan abadi bertemu Pencipta.

BACA JUGA Selepas Hamzah disingkir, bagaimana laluan Azmin?