Anwar ingatkan jangan leka meski banyak kejayaan dicapai

Dalam tempoh kebelakangan ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mencapai pelbagai kejayaan termasuk usaha mengekang ketirisan, memperkukuh kawalan sempadan serta membanteras jenayah dan penyeludupan yang menyelamatkan hasil negara bernilai besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian ini menjadi bukti kesungguhan jentera keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan, undang-undang serta kesejahteraan rakyat.

Namun kata beliau, Ramadan mengingatkan bahawa amanah ini mesti dilaksanakan dengan lebih teliti, jujur dan berintegriti. 

“Kita tidak boleh leka atau berasa selesa dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya terus berusaha memperbaiki setiap kelemahan.

“Teguran wajar diterima dengan lapang dada, manakala penambahbaikan perlu dilaksanakan secara berhemah, tersusun dan berterusan.

“Saya yakin dengan semangat islah dan disiplin Ramadan, warga KDN akan terus meningkatkan prestasi, memperkukuh integriti serta melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab,” kata beliau di Facebook hari ini ketika menghadiri pertemuan bersama warga KDN.

Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat dan pengorbanan seluruh warga KDN serta agensi di bawahnya yang saban hari memastikan keamanan dan ketenteraman negara terus terpelihara.

BACA JUGA Dugaan 1 Ramadan, terpaksa solat Subuh dalam tren, ini penjelasan Rapid Rail