Bekas Ketua Hakim Negara meninggal dunia
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad meninggal dunia pada usia 83 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), tengah hari tadi.
Perkara itu disahkan anaknya Murni Abdul Hamid ketika dihubungi Bernama.
Difahamkan, Allahyarham sebelum ini menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada awal bulan ini.
Beliau disahkan meninggal dunia kerana sakit tua di samping isteri Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan anak-anak.
“Insya-Allah, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Musolla Taman Selatan Presint 20, Putrajaya selepas solat asar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Putrajaya Presint 20.
“Bersama-sama kita doakan agar semua urusan berjalan dengan lancar,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
Abdul Hamid memasuki perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada Mei 1969.
Allahyarham berpengalaman menjadi Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Hasil Dalam Negeri, dan Ketua Bahagian Pendakwaan sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1990 di Pulau Pinang.
Dua tahun kemudian, Allahyarham dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan pada 2002, beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.