Mahkamah kurangkan bayaran saman Abu Syafiq kepada KJ daripada RM2.5 juta kepada RM830,000
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan pendakwah bebas, Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq untuk mengurangkan jumlah ganti rugi sebanyak RM2.5 juta yang perlu dibayar kepada bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersetuju mengurangkan jumlah ganti rugi tersebut kepada RM830,000.
Hakim berpendapat, ganti rugi am sebanyak RM2 juta adalah dianggap berlebihan, maka Mahkamah Rayuan mengurangkannya kepada RM500,000.
Manakala ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan kerana kenyataan fitnah pendakwah berkenaan terhadap Khairy bersifat serius dan berpotensi memberi impak kepada orang awam, semasa pandemik Covid-19 lalu.
Bagi ganti rugi teladan pula, mahkamah mengurangkan jumlah itu daripada RM250,000 kepada RM80,000.
Keseluruhannya berjumlah RM830,000.
Pada 18 April tahun lalu, Khairy memenangi kes saman terhadap Abu Syafiq kerana memfitnah dengan membuat beberapa kenyataan berhubung vaksin COVID-19 yang dimuat naik di media sosial, empat tahun lalu.
Mohamed Zaini yang membacakan penghakiman panel itu, berkata ganti rugi dalam kes fitnah adalah bertujuan sebagai pampasan dan bukan untuk memberikan keuntungan luar biasa
Beliau berkata, mahkamah bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan fitnah itu adalah serius dan dakwaan berkenaan membayangkan ketidakjujuran, penipuan dan pemalsuan rekod vaksinasi terhadap responden (Khairy), yang pada masa berkaitan adalah Menteri Kesihatan.
Panel juga mengiktiraf bahawa terdapat lapan penerbitan yang berasingan dan setiap satunya boleh diambil tindakan secara tersendiri.
Katanya, mereka berpendapat bahawa responden berhak menerima ganti rugi bagi setiap penerbitan, bagaimanapun dalam menilai kuantum, beberapa faktor perlu diselaraskan dengan teliti.
“Bagaimanapun, ganti rugi am dalam kes fitnah bertujuan memberi pampasan, bukan untuk memperkayakan. Walaupun tiada jumlah tetap bagi ganti rugi dalam kes fitnah, jumlah itu mestilah berkadar dan selaras dengan trend kehakiman semasa.
“Jumlah keseluruhan RM2.5 juta bagi ganti rugi am adalah tidak selaras dengan trend kehakiman semasa. Oleh itu, kami mengurangkan ganti rugi am,” katanya.