Masjid terbesar di Australia terima surat ugutan ketiga dengan lukisan babi

Masjid Lakemba di barat Sydney, mendapat surat ugutan yang tertera lukisan seekor babi serta ugutan untuk membunuh “bangsa Muslim”.

Surat itu dihantar ke masjid terbesar negara itu hanya beberapa jam sebelum bermulanya bulan suci Ramadan.

Surat terbaharu itu dihantar beberapa minggu selepas mesej serupa dikirim ke masjid sama, yang memaparkan gambaran orang Islam berada dalam masjid yang sedang terbakar.

Polis Australia sudah melancarkan siasatan ke atas insiden ugutan tersebut selepas masjid berkenaan menerima tiga surat ugutan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.

Polis turut menahan dan mendakwa seorang lelaki berusia 70 tahun berhubung surat ugutan ketiga yang dihantar kepada kakitangan Masjid Lakemba, Januari lalu.

Surat itu turut merujuk kepada lelaki yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Christchurch.

Bercakap kepada wartawan, Pesuruhjaya Polis New South Wales Mal Lanyon, mengesahkan beliau melihat surat berkenaan. “Kami mengambilnya dan sedang menjalankan siasatan.”

Sementara itu, Persatuan Muslim Lubnan yang menguruskan masjid itu memaklumkan kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC) bahawa pihaknya telah memohon kepada kerajaan peruntukan tambahan untuk pengawal keselamatan serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Kira-kira 5,000 orang dijangka menghadiri masjid itu setiap malam sepanjang Ramadan.

BACA JUGA Dugaan hari pertama Ramadan, khemah peniaga bazar terbang akibat hujan lebat