AMANAH hargai kejujuran Tok Mat, harap kerjasama PH-BN diteruskan

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad memuji ketelusan jawapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung persoalan rundingan kerusi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk pilihanraya Negeri Melaka dan Johor.

Khalid menyifatkan jawapan Tok Mat sebagai matang dan lebih ikhlas kerana mengakui keputusan sama ada meneruskan kerjasama dengan PH atau bergerak solo masih belum dimuktamadkan.

Namun kata beliau, nada berbeza pula dibawa oleh Dr Muhammad Akmal Saleh kerana Ketua Pemuda UMNO itu sepertinya lebih cenderung untuk bersama Pas-PN.

“Secara tenang Tok Mat menyatakan bahawa ianya tidak mungkin dilakukan kerana keputusan sama ada nak bersama PH atau bersendirian masih belum dibuat. Kalau ikut kenyataan Akmal pula, dia lebih cenderung untuk bersama Pas-PN!

“Jawapan sebegini dari Tok Mat jauh lebih matang dan ikhlas berbanding jawapan-jawapan sebelum ini.

“AMANAH mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan, demi kepentingan Negara, namun mengakui pilihan diletak di tangan BN,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Khalid melihat, kerjasama yang diasaskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara PH dan BN sangat baik, penuh dengan tolak-ansur dan keikhlasan. 

Beliau menyatakan rasa hairan mengapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya, kerana tiada unsur khianat atau paksaan dan buli sepanjang bekerjasama. 

“Lainlah kalau kami seperti Pas dan PN yang masyhur dengan khianat dan pemaksaan.

“Namun demikian, berdasarkan jawapan Tok Mat, AMANAH kena bersiap-sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan.

“Teringat saya akan kata-kata pegawai ISA ketika saya ditahan dahulu, “pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu”. 

“Begitulah keadaannya dengan BN sekarang. Walaupun dilayani dengan baik semasa kerjasama perpaduan ini, terpulang pada BN sama ada hendak teruskan atau sebaliknya,” ujarnya.

Khalid berkata, AMANAH akan terus mengharapkan bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN. 

Tetapi pada masa sama AMANAH akan menggerakkan jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti “kegilaan Akmal”.

BACA JUGA Jaga jaga! Amaran hujan berterusan tahap buruk di Sabah hari ini