Hamzah bakal sertai parti baharu minggu depan dengan 16 MP Bersatu?

Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat dari Bersatu dikatakan akan menyertai parti politik baharu minggu depan bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin yang mengesahkan kewujudan “rumah baharu” itu iaitu sebuah parti politik kecil sedia ada.

Menurut Utusan Malaysia, Hamzah akan mengambil alih sebuah parti kecil bagi memperluaskan pengaruhnya menjelang PRU akan datang.

“‘Rumah baharu’ yang dimaksudkan ialah sebuah parti yang sudah ada dan beliau akan mengambil alih parti itu.

“Beliau sudah memberi petanda mengenai parti tersebut, tetapi belum mendedahkan nama parti. Insya-Allah ia akan diumumkan dalam masa terdekat kerana tidak boleh lambat,” katanya seperti dilapor.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan pula berkata, platform politik baharu itu akan disertai ketua-ketua Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut berkenaan.

“Maklumat yang saya dapat pun begitu juga (bahawa Hamzah akan mengumumkan rumah baharu) dalam masa terdekat, Insya-Allah pada minggu depan.

“Saya pun akan sertai ‘rumah baharu’ itu bersama Ahli Parlimen lain,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Difahamkan Hamzah tidak berminat menyertai parti besar kerana strategi beliau adalah untuk menjadi ketua parti supaya dapat menunjukkan keupayaan sebenarnya.

Ahli parti menyokong langkah terbabit kerana ia membolehkan Hamzah menjadi pemimpin utama parti baharu dan menonjolkan kepemimpinannya.