Pas memang berhasrat ambil alih PN, kata Hadi
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu berhasrat untuk mengambil alih Perikatan Nasional (PN).
Namun beliau berkata, soal pelantikan Ketua Pembangkang baharu masih belum diputuskan.
“Memang kita berhasrat nak ambil alih PN. Tapi untuk Ketua Pembangkang kita belum ada keputusan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila.
Mengenai jawatan Pengerusi PN bagi menggantikan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, Pas akan mengadakan mesyuarat Ahad ini.
Abdul Hadi berkata, keutamaan ketika ini adalah untuk menyelamatkan PN.
“Paling penting pada perbincangan mesyuarat nanti adalah kita perlu selamatkan PN, kerana jika mahu perintah negara mesti membabitkan semua pihak,” katanya.
Mengulas kunjungan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada Bersatu, Abdul Hadi mengakui bekas timbalan Presiden parti itu ada menemuinya termasuklah wakil dari Mahiaddin sendiri.
“Pada perjumpaan itu, kedua-dua pihak iaitu kumpulan Hamzah dan Muhyiddin masing-masing memberi hujah dan kita akan berusaha menyelesaikan masalah dibangkitkan,” katanya.
BACA JUGA AMANAH hargai kejujuran Tok Mat, harap kerjasama PH-BN diteruskan