Anwar ucap tahniah kepada PM baharu Bangladesh, undang lawatan rasmi ke Malaysia
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri baharu Bangladesh, Tarique Rahman, bagi menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan besar dalam Pilihan Raya Parlimen ke-13 negara itu.
Perdana Menteri berkata, beliau turut menzahirkan penghormatan kepada rakyat Bangladesh atas kematangan mereka dalam mempertahankan proses demokrasi yang berlangsung secara aman dan teratur.
“Malaysia menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu Bangladesh dalam memperkukuh serta mengangkat hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perbualan tersebut, Anwar juga mengambil kesempatan menjemput Tarique untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada masa yang sesuai sebagai langkah mempererat hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan persahabatan dengan Bangladesh demi manfaat bersama rakyat dan kedua-dua negara.
“Semoga hubungan persahabatan Malaysia dan Bangladesh terus diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri lagi.
Untuk rekod, Tarique Rahman, 60, yang mengetuai Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Bangladesh Parlimen ke-13 pada 12 Februari lalu.
Tarique memperoleh majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat sekali gus memperoleh mandat kukuh di negara berpenduduk majoriti Islam seramai 175 juta orang itu.
Pilihan raya Parlimen itu merupakan undian pertama Bangladesh sejak aksi protes Generasi Z pada 2024 yang menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina.
BACA JUGA Caprice hulur sejambak mawar kepada Rafizi