Ini sebabnya Bang Mat seronok duduk bersama Pemuda AMANAH

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan keyakinan tinggi terhadap masa depan parti itu selepas bertemu barisan Pemuda AMANAH yang disifatkannya sebagai sumber kekuatan baharu perjuangan.

Dalam perkongsian hari ini, Mohamad atau mesra dipanggil Bang Mat berkata, beliau berasa teruja apabila dapat duduk bersama anak-anak muda parti yang dilihat penuh semangat dan idealisme.

“Bila tengok wajah-wajah anak muda penuh semangat, hati ini rasa yakin… perjuangan kita ada harapan yang cukup cerah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan masa depan AMANAH bukan lagi terletak pada generasi lama semata-mata, sebaliknya berada di tangan pemimpin muda yang sedang dibentuk hari ini.

“Kalau Pemuda kuat, parti pun kuat. Kalau Pemuda ada jiwa besar, insya-Allah perjuangan kita terus hidup,” katanya.

Menurutnya, kekuatan sayap Pemuda bukan sekadar pada jumlah ahli, tetapi pada keupayaan memahami dasar parti, menjaga integriti dan turun mendekati rakyat.

Membela rakyat

Mohamad berkata, AMANAH terus membawa pendekatan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin yang mendamaikan serta membela rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Kita bawa Islam yang mendamaikan, yang membela rakyat tanpa pilih kasih. Bukan Islam yang marah-marah, bukan politik yang suka menghukum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Pemuda AMANAH agar sentiasa memperkukuh ilmu, menjaga akhlak dan integriti, serta mendengar sendiri suara rakyat di lapangan.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut menekankan bahawa perjuangan AMANAH bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya, tetapi membina negara yang lebih adil, bersih dan berakhlak.

“Politik ini bukan tempat cari nama, tetapi tempat berkhidmat,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad menambah beliau yakin AMANAH akan terus dipercayai rakyat sekiranya barisan Pemuda hari ini memiliki ilmu, semangat dan kesungguhan untuk berkhidmat.

“Perjuangan ini panjang… dan Bang Mat sandarkan harapan itu pada kamu semua,” kata beliau lagi.

BACA JUGA Caprice hulur sejambak mawar kepada Rafizi