‘Buang rasa malu, didik anak bersyukur’, 6 tahun keluarga ini berbuka di masjid

Perkongsian seorang ibu, Nur Farhana Aziz, tentang pengalaman enam tahun berbuka puasa di masjid bersama keluarga menarik perhatian warganet.

Beliau menceritakan perjalanan mendidik anak-anak tentang syukur, reda dan kebersamaan dalam Ramadan.

Menurut wanita berkenaan, pada awalnya bukan mudah untuk membiasakan diri berbuka di masjid kerana perasaan segan dan malu terpaksa beratur mengambil makanan.

“Tipu kalau kata mula-mula tak rasa malu. Macam meminta-minta kena beratur ambil makanan.

“Tapi kami buang rasa malu untuk didik diri dan anak-anak,” katanya dalam perkongsian di Facebook yang meraih lebih 2,000 tanda suka setakat ini.

Bagi mengatasi rasa segan, Nur Farhana berkongsi tip untuk mereka yang ingin memulakan tradisi berbuka di masjid dengan membawa sedikit makanan sendiri dan berkongsi dengan jemaah.

Antara yang sering dibawanya ialah juadah ringkas seperti peneram mini kerana murah dan mudah disediakan dalam jumlah banyak.

“Kita boleh bagi pada urusetia. Jadi tak segan bila beratur ambil makanan nanti,” katanya.

Beliau memulakan rutin itu enam tahun lalu ketika anak bongsunya masih bayi berusia kurang setahun.

Kini, katanya, anak tersebut sudah berusia tujuh tahun dan setiap kali Ramadan tiba, mereka sendiri yang teruja untuk berbuka di masjid.

Keluarga itu lazimnya berbuka di masjid yang sama sepanjang minggu, khususnya di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (Perda), dan akan menukar masjid pada hari tertentu bagi merasai suasana berbeza.

Sepuluh malam terakhir Ramadan pula sering dihabiskan sepenuhnya di masjid tersebut, termasuk bersahur, bertahajud dan berbuka bersama jemaah.

Selain di Pulau Pinang, mereka juga pernah berbuka di pelbagai masjid di Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Shah Alam.

“Alhamdulillah, seronok. Banyak kenangan,” katanya.

Rezeki tidak disangka

Nur Farhana turut berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila pernah berdepan situasi makanan di masjid habis pada hari pertama mereka ke sebuah masjid.

“Kami duduk saja anak beranak. Masa itu terasa sebak, rasa tak ada rezeki hari itu.

“Tapi selepas jemaah tahu, beberapa keluarga datang berkongsi makanan. Dari sikit-sikit, jadi banyak,” katanya.

Menurutnya, detik itu mengajar keluarga mereka tentang makna rezeki dan kebersamaan.

“Tadi menangis sebab tak ada rezeki, sekejap saja Allah tukar dengan rezeki yang banyak,” katanya.

Sepanjang enam tahun pengalaman itu, beliau berkata, lauk yang disediakan di masjid tidak selalu sama dengan ada hari sangat sedap, ada hari biasa-biasa dan ada hari kurang menepati selera anak-anak.

Namun, di situlah peluang untuk mendidik anak-anak tentang kesyukuran dan reda.

“Bila anak mula nak bersuara tentang lauk, masa itulah tugas kita ajar mereka bersyukur,” katanya.

Kisah beliau dilihat sebagai inspirasi kepada ramai ibu bapa untuk mendekatkan anak-anak dengan masjid serta memupuk nilai kesederhanaan dan kebersamaan sepanjang Ramadan.

BACA JUGA Caprice hulur sejambak mawar kepada Rafizi