Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perkukuh pemantauan bazar Ramadan Rahmah melalui sesi walkabout

FOTO BERITA: Sesi Walkabout ke Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Kuala Lumpur bersama Encik Mohd Sabri Seman, Pengarah KPDN WPKL di Bazar Ramadan Rahmah Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur. 20hb Februari 2026 Jumaat. (Gambar: KPDN WPKL)

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terus memperkukuh pemantauan bazar Ramadan menerusi sesi walkabout ke Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2026 di Bazar Ramadan Rahmah Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, hari ini.

Lawatan yang diketuai Pengarah KPDN WPKL, Mohd Sabri Seman bersama Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN WPKL, Mohd Shahran Mohd Arshad itu bertujuan meninjau pelaksanaan inisiatif Rahmah serta tahap pematuhan peniaga terhadap undang-undang dan peraturan perdagangan yang berkuat kuasa.

Menurut Mohd Sabri, BRR merupakan inisiatif KPDN yang diperkenalkan sejak 2023 bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat sepanjang Ramadan, khususnya golongan B40. Melalui pelaksanaannya, peniaga menawarkan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah selain menggalakkan transaksi tanpa tunai menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).

“Inisiatif ini turut merangkumi pelaksanaan MySaveFood Ramadan di bawah konsep Ihsan Food Bank serta pengukuhan pematuhan melalui Program PATUH di tapak bazar,” katanya dalam sidang media selepas sesi walkabout berkenaan.

Bagi tahun 2026, empat bazar utama di Kuala Lumpur dipilih untuk pelaksanaan BRR iaitu Bazar Tasik Permaisuri, Bazar UTC Sentul, Bazar Raja Alang dan Bazar Seksyen Satu Wangsa Maju dengan penyertaan peniaga yang dikenal pasti di setiap lokasi. Program itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Seiring pelaksanaan BRR, KPDN WPKL turut menggerakkan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 30 Mac 2026 bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal stabil sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri. Operasi berkenaan melibatkan pemantauan di premis peruncit, pasar tani, pasar raya, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri serta platform jualan dalam talian.

Seramai 99 pegawai dan anggota penguat kuasa ditempatkan di semua lokasi terlibat bagi menjalankan pemeriksaan secara lebih kerap dan bersasar. Antara keperluan yang perlu dipatuhi peniaga termasuk meletakkan tanda harga jelas, tidak menjual pada harga tidak munasabah, menggunakan alat timbang dan sukat yang sah, memaparkan label pembungkusan serta terma pembelian, selain mengeluarkan resit kepada pelanggan. Peniaga juga diingatkan agar tidak menjual barangan tiruan atau cetak rompak serta mematuhi peraturan penggunaan perakuan halal.

Mohd Sabri menegaskan KPDN WPKL komited memperkukuh pelaksanaan inisiatif Rahmah melalui penguatkuasaan berhemah, pemantauan berterusan dan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan persekitaran perdagangan yang adil, berintegriti serta kondusif demi kesejahteraan pengguna dan peniaga.