Hanya ada seorang calon tunggal dari Pas

Hanya ada seorang calon tunggal dari Pas untuk pelantikan Pengerusi baharu Perikatan Nasional (PN) yang dijangka terjawab esok.

Itu reaksi Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dipetik BH berhubung siapa yang akan mengisi jawatan dikosongkan oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin itu.

Ketua Pemuda PN itu juga mengesahkan akan menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan berkenaan di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur.

“Setakat yang saya faham, hanya ada seorang calon tunggal daripada Pas.

“Insya-Allah, berkat bulan Ramadan, saya menjangka mesyuarat berlangsung dengan harmoni,” katanya, lapor BH.

Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat esok bukan sahaja akan membincangkan perihal calon Pengerusi baharu PN, malah turut dijangka menyentuh mengenai pelantikan Ketua Pembangkang baharu di Parlimen.

Timbalan Pengerusi PN itu berkata, Pas akan mengambil alih teraju PN susulan peletakan jawatan Mahiaddin pada akhir Disember lalu.

Sebelum ini, dua nama pemimpin Pas disebut-sebut bakal menyandang jawatan Pengerusi PN iaitu Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Takiyuddin, 64, yang juga Ketua Whip PN di Parlimen dilihat mempunyai lebih banyak pengalaman dalam rundingan politik pusat serta pengurusan organisasi parti.

Berbeza dengan Ahmad Samsuri, 55, Menteri Besar Terengganu itu dikatakan belum diuji dalam rundingan politik nasional yang rencam atau menangani krisis gabungan besar.

Bagaimanapun, bulan lalu, tular gambar pertemuan Samsuri bersama Mahiaddin dengan dengan kapsyen ringkas “Alhamdulillah, insya-Allah”

BACA JUGA Bekalan makanan stabil, usahawan dibela: Dua menteri dipuji beri hasil nyata Ramadan ini