Ibubapa rasa dulu makanan yang dibeli sebelum anak-anak makan, saran Menteri Kesihatan
Menteri Kesihatan menyarankan agar semua ibubapa merasai dahulu makanan yang dibeli sebelum di makan oleh anak-anak bagi mencegah keracunan makanan.
“Di bulan puasa ini, ketika kita berbuka, saya sarankan kepada ibubapa rasa dahulu makanan yang kita beli tu sebelum anak-anak makan.
“Jika ada rasa pelik atau makanan bertukar warna dari warna asal dia, jangan bagi anak-anak makan. Ini boleh mencegah keracunan makanan dari berlaku,” kata Datuk Sri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Ketika melancarkan kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan berhampiran bazar Ramadhan Kuala Selangor petang ini.
Dr Dzulkefly, ahli parlimen Kuala Selangor itu melancarkan kempen keselamatan makanan di bazar Ramadhan peringkat kebangsaan di hari ketiga bulan Puasa tahun ini.
Menurut beliau, usaha pencegahan dan kempen kesedaran keselamatan makanan telah dijalankan sejak awal Februari tahun ini lagi dengan pelbagai program khasnya peniaga di bazar Ramadhan.
“KKM telah bertemu dengan 77,000 peniaga bazar Ramadhan di seluruh negara bagi memberikan latihan dan panduan kepada mereka untuk menjaga kebersihan khasnya bagi menjamin keselamatan makanan yang mereka jual,” kata beliau.
Beliau mengakui kes keracunan makanan belum berlaku lagi untuk Ramadhan tahun ini tetapi langkah pencegahan perlu dibuat kerana keracunan makanan ini satu trauma apabila berlaku.
Dr Dzulkefly mengambil peluang bertemu dengan peniaga dan orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadhan Kuala Selangor yang beliau sifatkan sebagai antara yang terbaik.
BACA JUGASebelum ke bazar Ramadan, ketahui trend kes tibi, tiga negeri ini rekod kes tertinggi